SIASAT SEGERA ISU KOMISEN VAKSIN 

160
SHARES
516
VIEWS

SURAT PEMBACA | Kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa beliau sedia disiasat berhubung desas-desus beliau meraih keuntungan peribadi daripada urusan pembelian vaksin dan program vaksinasi, menarik perhatian ramai. Ini merujuk wawancara khas yang disiarkan Mingguan Malaysia terbitan 24 April. 

Sebenarnya isu tersebut menjadi bualan rakyat Malaysia sejak tahun lalu lagi ketika Khairy menjadi Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Banyak cakap-cakap berlegar tentang pelbagai isu antaranya ada pihak mengaut komisen tinggi dalam pembelian vaksin dan juga pelbagai kontrak serta urusan program imunisasi.

Memandangkan isu tersebut besar dan melibatkan perbelanjaan berbilion ringgit wang rakyat, adalah lebih baik siasatan lengkap dapat dijalankan. Langkah tersebut dapat memberikan jawapan sebenar kepada rakyat Malaysia selain mampu membersihkan nama menteri, kementerian berkenaan mahupun kerajaan. Walaupun Khairy telah memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC), ramai percaya ia tidak memadai dan perlukan siasatan lengkap.

Sudah sampai masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Bahagian Jenayah Komersil PDRM memulakan siasatan. Malah adalah dicadangkan panel siasatan bebas dibentuk untuk membantu kedua-dua agensi berkenaan demi integriti dan kredibiliti hasil siasatan tersebut.

Selain Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Setiausaha kementerian itu, siasatan juga wajar melibatkan Menteri Kabinet yang lain termasuk Menteri Kewangan dan bekas Menteri Kesihatan. Jika perlu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin juga boleh dipanggil untuk memberikan keterangan kepada panel bebas selain SPRM.

Senarai syarikat-syarikat yang memperoleh kontrak program imunisasi termasuk pengedaran dan penyimpanan vaksin serta penyediaan infra dan sokongan, perlu didedahkan kepada umum. Rakyat berhak mengetahui semua perkara ini atas asas kepentingan awam dan integriti. Sekiranya isu ini tidak ditangani segera, ia akan terus menjadi misteri kepada rakyat Malaysia dan akan meninggalkan imej yang buruk kepada pihak-pihak berkenaan. 

Hakikatnya, isu tersebut adalah amat serius. Adalah amat menyedihkan dan memalukan sekiranya ada pihak mengambil kesempatan dan meraih keuntungan besar atas penderitaan dan tekanan rakyat ekoran wabak Covid-19 yang melanda negara. Tiada sesiapa yang boleh terlepas begitu sahaja. Dari segi moral, sebarang kes rasuah dan salahguna kuasa jika ada, adalah lebih teruk daripada kes 1MDB.

Maka menjadi tanggungjawab kita semua untuk membuktikan bahawa tidak berlaku salah guna kuasa, rasuah dan kepincangan dalam isu pembelian vaksin dan program vaksinasi. Atas sebab itu, sebagai rakyat Malaysia, saya tabik kepada Khairy kerana menunjukkan sikap terbuka dan kesediaan disiasat. Hal ini sepatutnya menjadi contoh kepada menteri Kabinet lain. Jika kita tidak bersalah untuk apa merasa takut dan jangan hanya pandai mendabik dada kononnya berintegriti. 

-Warga industri farmasi

Bangsar, Kuala Lumpur.

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts