ADA APA DENGAN VAKSIN, IVERMECTIN, PARLIMEN DAN EURO 2020?

370
SHARES
2.2k
VIEWS

KEMELUT VAKSIN DAN ‘TOTAL’ LOCKDOWN

Rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 amat mengharapkan kerajaan memikirkan “jalan keluar” efektif dan menyeluruh buat mereka kerana PKP dan ‘total’ lockdown kini sudah berlanjutan berbulan lamanya. Timbul persoalan sampai bila rakyat harus hidup dalam keadaan begini?

Ia bukan sahaja mengenai isu bantuan rakyat, pembukaan masjid dan surau, persekolahan anak-anak, atau melibatkan kebenaran merentas negeri sahaja, tetapi rakyat mengharapkan “jalan keluar menyeluruh” daripada pandemik – yang dilihat gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan.

Kerajaan tidak boleh berharap semata-mata kepada “herd immunity” yang dicapai melalui pemberian vaksin tanpa memikirkan kaedah penyelesaian sepenuhnya kerana pemberian vaksin itu sendiri masih perlahan.

Pelan Pemulihan Negara yang di umumkan pada 15 Jun, sehari sebelum YDP Agong dan Raja-raja Melayu bersidang serta pakej PEMULIH yang baru sahaja diumumkan diharapkan dapat membantu rakyat terkesan tetapi jika kilang-kilang masih dibuka dan negara gagal mencatat kenaikan purata di bawah 4,000 sehari maka PKP 3.0 nampaknya akan terus disambung.

Lebih malang, rakyat disekat keluar rumah dan pulang ke kampung, masjid surau terus ditutup tetapi kilang-kilang yang menjadi punca pandemik pula dibenarkan beroperasi. 

VAKSIN DAN IVERMECTIN

Kerajaan perlu juga mendengar pandangan awam termasuk NGO, doktor dan pengamal perubatan lainnya, bukan menidakkan terus apa yang difikirkan sesuai dan bermanfaat untuk rakyat.

Jika Ivermectin yang digunakan oleh negara lain terbukti berkesan maka apa salahnya jika ia digunakan di negara ini atas pilihan penggunanya sendiri?

Perikatan Nasional selaku kerajaan walaupun masih mentah, tetapi apa jua pelaksanaannya tidak boleh ‘mentah’ atau “separuh masak”. Mereka perlu pandai membezakan antara pemberian vaksin dan penggunaan ubat-ubatan seperti Ivermectin hatta pengambilan ubat-ubatan alternatif lain jika ia boleh dijadikan ikhtiar mengelakkan diri daripada pandemik.

Kerajaan tidak perlu gusar, kerana tiada sesiapa yang mendesak agar pemberian vaksin dihentikan walaupun Ivermectin digunakan sebagai pilihan. Ini kerana pelbagai pihak termasuk para doktor seluruh dunia yang menyokong penggunaan Ivermectin menyatakan bahawa ia paling baik digunakan sebagai pencegahan dan juga untuk rawatan awal Covid-19. 

Kemelut Ivermectin ini diharapkan berakhir apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkannya digunakan secara “off label” seperti beberapa ubatan lain yang digunakan untuk tujuan berbeza daripada matlamat asal ia dihasilkan.

Rujuk pautan;

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/25/hospital-boleh-pohon-guna-ivermectin-secara-luar-label-untuk-rawat-covid-19-kata-kkm/

DUA DOS VAKSIN DAN JANJI PERDANA MENTERI

Dalam masa yang sama, kerajaan perlu mencari jalan untuk mempercepatkan pemberian vaksin jika mereka tidak mampu memikirkan kaedah lain yang lebih efektif dan menyeluruh untuk segera keluar daripada kemelut ini – jika tidak rakyat akan terus merana dengan ‘total’ lockdown atau PKP 3.0 yang berpanjangan. 

Rakyat juga tertanya-tanya adakah janji Perdana Menteri sebelum ini akan ditunaikan, kerana menurutnya jika sudah menerima dua dos suntikan maka “rakyat sudah boleh ke sana ke sini, ke sana ke sini” – seperti yang beliau katakan sendiri dalam sebuah wawancara sebelum ini.

VAKSIN DAN SIDANG PARLIMEN

Kenapa Sidang Parlimen masih digantung walaupun Ahli-ahli Parlimen semuanya telah diberikan dua dos vaksin masih menjadi misteri. Alasan ‘umur’ dan ‘tua’ dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen juga dangkal sedangkan mana-mana pengeluar vaksin tidak menyebut mengenai ‘larangan’ ini.

Mungkin kerajaan Malaysia perlu menyemak kembali label vaksin dan maklumkan kepada rakyat jika ada larangan tersebut untuk meyakinkan mereka bahawa kerajaan tiada niat terselindung dengan menutup Parlimen. 

ISU DUA DOS VAKSIN BERLAINAN DAN DOS KETIGA

Rakyat juga dikejutkan apabila Khairy Jamaluddin mengumumkan kerajaan “mempertimbangkan kaedah heterologi atau campuran dua vaksin sebagai sebahagian pelaksanaan kempen vaksinasi dalam negara“.

Di mana dos pertama dan kedua adalah daripada vaksin yang berlainan, sedangkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sendiri menasihatkan agar, “lebih baik jangan campur aduk dua dos suntikan vaksin“.

Rujuk pautan;

https://www.google.com/amp/s/www.astroawani.com/berita-dunia/lebih-baik-jangan-campur-aduk-dua-dos-suntikan-vaksin-who-303909%3famp=1

Belum berakhir isu dua dos berlainan ini, rakyat dikejutkan pula dengan pengumuman kerajaan untuk mengkaji dos ketiga. Ini membuatkan rakyat terfikir, jika selepas ini sudah diberi tiga dos, adakah perlu lagi dos keempat atau kelima jika terdapat lagi varian baru?

ISU VAKSIN DAN EURO 2020

Di luar negara, sesiapa yang sudah menerima dua vaksin dibenarkan “ke sana ke sini” termasuk menonton Euro 2020 di stadium yang dihadiri oleh puluhan ribu penonton.

Tidak perlu beriya diumumkan oleh Ketua Negara mereka ataupun anak Perdana Menterinya membuat lagu remix seperti di negara kita. 

Sungguhpun begitu mungkin kerana pendekatan kita berbeza, yang boleh “ke sana ke sini, ke sana ke sini” walaupun belum menerima vaksin sebenarnya ditujukan kepada mereka yang terkait dengan sektor perkilangan.

ISU “ANTI-VAKSIN”

Kerajaan perlu bezakan antara rakyat yang skeptikal dengan pemberian vaksin Covid-19 dan golongan anti vaksin. Tidak mahu vaksin tidak bererti mereka ‘anti’.

Mungkin rakyat tidak nampak keperluan untuk mengambil vaksin ketika ini kerana kerajaan sendiri masih ragu-ragu dengan pelaksanaannya apabila mereka yang telah menerima dua dos masih tidak boleh ke mana-mana.

Jangan hanya isytihar PEMULIH jika keyakinan rakyat sendiri gagal dipulihkan. 

Dalam hal ini apa kata kerajaan menggunakan Menteri-menteri Kabinetnya untuk menyampaikan maklumat berkesan kepada rakyat kerana JKOM mereka asyik membuang masa menjadi cybertrooper murahan menyerang mereka yang tidak sealiran dengan kerajaan.

Setidak-tidaknya tidaklah melenting apabila digelar “makan gaji buta” oleh rakyat. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts