KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA
8 Julai 2021
1. Telah tular video baru-baru ini berkenaan dakwaan individu dikenali sebagai Simon Ng telah menerima satu suntikan vaksin picagari kosong ketika menghadiri program vaksinasi di Banting. Beliau telahpun membuat laporan polis di Balai Polis Kapar Klang pada 6 Julai 2021 berhubung perkara terbabit.
Dakwaan ini amat serius kerana bahaya kepada rakyat dan menggugat serta mengancam program imunisasi kebangsaan kerana melibatkan integriti dan kepercayaan rakyat dalam usaha mengekang penularan Covid-19. Tidak habis-habis hal mengarut berlaku berkenaan vaksin, apa hendak jadi dengan negara kita ini?
2. Banyak perkara sebelum ini berlaku seperti ketirisan dan dakwaan. Ini bukanlah perkara kecil, kerana isu suntikan kosong boleh mengarah kepada kemungkinan vaksin tersebut dicuri atau dijual kembali di tempat lain.
Siasatan dan tindakan segera perlu dilakukan supaya kejadian seperti ini tidak berulang. Namun, siasatan pihak polis sahaja tidak memakai dan PUTRA menggesa agar kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bebas yang diketuai tokoh berintegriti bagi membuat penyiasatan menyeluruh terhadap kes ini termasuk berkenaan program vaksinasi yang sedang berjalan di seluruh negara.
Siasatan jawatankuasa ini perlu dilakukan di samping siasatan oleh pihak polis. Ia bagi memastikan salah laku seumpama ini tidak berlaku lagi dan diambil tindakan keras terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab.
3. Apa yang berlaku ini amat mengecewakan. Mungkin ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mencuri atau ada penyelewengan berlaku di mana-mana.
Di Malaysia tidak pernah lekang isu salah guna kuasa dan penyelewengan dalam kalangan kakitangan pelaksana dan kakitangan penguatkuasaan yang seumpama “menyelam sambil minum air”. Di mana mereka mengambil kesempatan tanpa mengambil kira tanggungjawab, integriti dan takut kepada Allah Yang Maha Esa.
Udang selalu ada di sebalik batu. Pokok tidak akan bergoyang jika tiada angin atau beruk yang menghenjutnya untuk mendapatkan buah. Di Malaysia negara kita memang luar biasa kerana dalam pasukan polis, kastam, JPJ dan macam-macam agensi lagi termasuk kakitangan SPRM pun ada yang rasuah dan salah guna kuasa. Malu dengan berita-berita yang sudah terlalu kerap terbongkar.
4. Ini makin memburukkan lagi persepsi dan tanggapan rakyat dalam usaha kerajaan menangani wabak yang tidak tahu bila penghujungnya.
Ia juga mencerminkan satu lagi kegagalan kerajaan mengurus program vaksinasi kebangsaan walau berbilion ringgit sudah dibelanjakan semasa darurat. Perbelanjaan kerajaan juga tiada semak dan imbang.
Menjadi tanda tanya adakah ia merupakan strategi agar dapat menunjukkan peningkatan jumlah penerima vaksin? Lebih-lebih lagi apabila mendapat tekanan daripada rakyat, khusus warga emas yang mempunyai masalah kesihatan tetapi masih belum menerima tarikh temujanji?
5. Lebih buruk lagi jika ada “tangan-tangan ghaib” yang cuba mengambil kesempatan untuk menjual kepada pasaran gelap atau memberi kepada rakan-rakan yang tidak layak menerima vaksin di fasa pertama ini.
Antara dua persepsi ini, sekiranya ada yang diketahui dan ditangkap memanipulasi pemberian vaksin mudah untuk dihukum. Namun sekiranya ia diatur oleh kerajaan bagi menyegerakan dan meningkatkan jumlah penerima semata-mata, maka ia adalah satu kegagalan urus tadbir kerajaan dan mereka yang bertanggungjawab perlu melepaskan jawatan kerana menunjukkan nilai yang tidak baik dengan tindakan tidak bermoral, menipu dengan mengenepikan keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.
5. PUTRA tidak berkompromi dengan mana-mana entiti yang cuba mensabotaj atau salah guna kuasa di ketika rakyat dan negara begitu kritikal dangan ancaman Covid-19 tetapi ada penjahat-penjahat yang tidak bertanggungjawab dan tidak berintegriti.
6. Apapun, sekalung tahniah kepada Simon Ng yang berani membuat laporan polis.
7. Pesanan kepada warga PUTRA di semua peringkat terutama di akar umbi, bantulah rakyat yang susah terutama jika ada terlihat kibaran bendera putih tanda keluarga yang memohon bantuan, bantulah setakat yang termampu.
Amal jariah dan sedekah amat besar pahalanya di sisi Allah SWT. Tahniah kepada negeri-negeri dan bahagian-bahagian yang bangkit membantu rakyat setakat ini.
Saya bangga dan bersyukur warga PUTRA cakna rakyat. Biar parti-parti lain asyik sibuk dengan politik tetapi Parti PUTRA sibuk membantu dan menolong rakyat setakat termampu dengan ikhlas.
PUTRA PERKASA NEGARA
Dato Paduka Dr Ibrahim Ali
Presiden PUTRA