Oleh Isham Jalil
PERDANA MENTERI CARETAKER
Perdana Menteri ‘caretaker‘ atau Perdana Menteri penjaga adalah Perdana Menteri peralihan, sementara menunggu Perdana Menteri yang baru dilantik oleh SPB YDP Agong.
Perdana Menteri caretaker hanya boleh menjalankan tugas-tugas pentadbiran harian kerajaan berdasarkan akta-akta dan peruntukan kewangan sedia ada.
Dia tidak boleh melantik jemaah menteri, mencadangkan undang-undang dan akta yang baru, atau membuat peruntukan kewangan atau bajet kerajaan yang baru.
Perdana Menteri caretaker juga tidak boleh melantik atau mengganti pegawai tinggi kerajaan, atau membuat pinjaman kewangan untuk kerajaan.
Dia juga tidak boleh menggunakan peruntukan Perlembagaan Artikel 40 iaitu supaya SPB YDP Agong mendengar nasihatnya.
Secara efektif, YDP Agong tidak perlu mendengar nasihat Perdana Menteri caretaker.
Perdana Menteri caretaker tidak mempunyai kuasa Eksekutif penuh.
Oleh sebab kekangan-kekangan di atas, Perdana Menteri yang baru perlu dilantik dengan segera terutama di masa krisis seperti sekarang untuk membolehkan kerajaan berfungsi dengan kuasa Eksekutif penuh.
SPB YDP Agong boleh melantik Perdana Menteri yang baru di kalangan Ahli-ahli Parlimen yang pada hemat baginda mempunyai majoriti.
Sekiranya tidak ada seorangpun Ahli Parlimen yang mempunyai majoriti, SPB YDP Agong boleh membubarkan Parlimen.
Namun dalam keadaan krisis COVID-19 yang masih getir ini, pilihan raya umum tidak semestinya diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.
YDP Agong boleh mengisytiharkan satu lagi proklamasi dan ordinan darurat untuk menangguhkan pilihan raya selepas Parlimen dibubar.
YDP Agong juga boleh melantik Perdana Menteri caretaker yang baru dalam tempoh pembubaran ini sehingga pilihan raya umum diadakan apabila COVID-19 reda.
……..
PERDANA MENTERI INTERIM
Istilah Perdana Menteri Interim tidak ada dalam Perlembagaan. Oleh itu takrifannya bukanlah takrifan undang-undang namun adalah takrifan politik.
Ia bermakna Perdana Menteri sementara yang dilantik oleh SPB YDP Agong untuk masa yang terhad.
Beza Perdana Menteri Interim dengan Perdana Menteri caretaker ialah Perdana Menteri Interim mempunyai kuasa Eksekutif penuh tetapi dengan tempoh yang terhad berbanding Perdana Menteri caretaker yang tiada kuasa Eksekutif penuh.
Perdana Menteri Interim boleh melantik jemaah menteri dan membentuk kerajaan yang baru.
Mengehadkan masa Perdana Menteri di bawah tempoh penggal Parlimen (5 tahun) juga tidak ada dalam Perlembagaan. Oleh itu, had masa ini juga bukanlah tertakluk di bawah undang-undang atau Perlembagaan, namun adalah persetujuan politik yang perlu dicapai di antara Ahli-ahli Parlimen dan SPB YDP Agong.
Oleh itu, sekiranya persetujuan dicapai, Ahli-ahli Parlimen boleh menyokong seorang Perdana Menteri Interim dengan tempoh masa terhad (contohnya 6 bulan atau setahun) untuk menyelesaikan krisis COVID-19 dengan kuasa Eksekutif penuh sebagai Perdana Menteri ke-9.
Apabila tiba tempoh had masa tersebut (atau lebih awal jika COVID-19 reda) Perdana Menteri Interim tersebut perlu meletakkan jawatan dan menasihati SPB YDP Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum seperti yang telah dipersetujui.
ISHAM JALIL
16 Ogos 2021
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/1032771034145087/?d=n