CABARAN YANG BAKAL DITEMPUHI OLEH PM-9, DATO’ SRI ISMAIL SABRI

364
SHARES
2.1k
VIEWS

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ke atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-9.

Saya kenal Dato’ Sri Ismail Sabri, seperti yang saya pernah kata sebelum ini, beliau adalah seorang yang baik, berpengalaman dan berwibawa serta sememangnya layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Setelah 39 bulan selepas PRU-14 di bawah kerajaan PH dan PN, kini UMNO telah kembali menerajui kerajaan.

Ini adalah kali ketiga dalam sejarah di mana pertukaran Perdana Menteri berlaku semasa negara sedang menghadapi krisis besar.

Kali pertama adalah semasa krisis rusuhan kaum pada tahun 1969, dan kali kedua adalah selepas Langkah Sheraton tahun lepas semasa permulaan wabak COVID-19.

Tetapi dalam krisis ini, berbeza dengan semasa krisis rusuhan kaum pada tahun 1969, kali ini dan semasa Langkah Sheraton, pertukaran Perdana Menteri berlaku dalam suatu gabungan yang terdiri daripada parti-parti politik yang paling banyak dan pelbagai; tidak ada satupun parti politik yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan, majoriti dibentuk melalui pergabungan parti-parti.

Dalam keadaan ini, Perdana Menteri yang baru iaitu Dato’ Sri Ismail Sabri menghadapi dua cabaran yang amat besar iaitu:

PERTAMA, menangani krisisi COVID-19, dan KEDUA menstabilkan keadaan politik negara. Ini bukanlah suatu tugas yang mudah.

Jika politik tidak distabilkan, kerajaan tidak akan boleh fokus untuk membuat kerja dan membuat dasar yang betul dan akibatnya keadaan COVID-19 tidak akan berjaya pulih dan lebih ramai rakyat akan mati.

Dan selagi kita tidak keluar dari krisis COVID-19 ini selagi itulah ekonomi negara tidak akan pulih.

Sebab itu saya harap dan berdoa agar semua pihak termasuk dari UMNO, Bersatu, PAS, GPS dan parti-parti lain dan semua jentera politik dan kerajaan untuk memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada Perdana Menteri ke-9 untuk menangani wabak COVID-19 ini dan untuk membuat dasar-dasar yang baik.

Hanya dengan cara ini kita boleh membawa negara keluar daripada krisis ini secepat mungkin untuk kehidupan seperti sedia kala sebelum ini.

Sesuatu krisis biasanya menyerlahkan keperibadian sebenar seseorang, sama ada baik mahupun buruk.

Dalam krisis ini, sejarah akan menilai sama ada kita adalah ahli politik, penjawat awam, mahupun warganegara yang baik untuk menjaga negara ini bersama-sama.

Jika kita gagal kali ini, kita akan gagal bersama-sama dan anak cucu kita yang tidak bersalah yang akan menanggung akibatnya. Jika kita berjaya, kita akan berjaya bersama-sama.

Salam.

ISHAM JALIL

22 Ogos 2021

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/1036307827124741/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts