KAJI IMPAK DAHULU SEBELUM BERTINDAK – PUTRA

98
SHARES
317
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PUTRA MALAYSIA

19 September 2021 | 12 Safar 1443H

Cadangan pakej Cukai Pemulihan Covid-19 yang disarankan oleh bekas perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dilihat bakal memberi pelbagai reaksi daripada rakyat. Walaupun ada di antara usul beliau tersebut dilihat baik dan bakal membantu memacu menjana ekonomi dan fiskal Malaysia semula selepas terkesan oleh pandemik yang berlarutan lebih dari satu tahun, namun tidak terkecuali juga usul yang dilihat kurang sesuai atau lebih berpihak kepada golongan T20 berbanding golongan B40 dan M40.

Umum mengetahui pendapatan utama negara dijana daripada kutipan cukai langsung dan cukai tidak langsung. Penurunan nilai kutipan boleh menyebabkan pembangunan infrastruktur serta perancangan aktiviti pembangunan negara akan terganggu sekaligus melambatkan proses pemulihan negara seperti yang dirancangkan.

Justeru, adalah penting agar pihak kerajaan memastikan perancangan Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi mengambil kira kesan terhadap pengenalan pakej cukai yang bersesuaian buat pembayar cukai sedia ada serta pembayar cukai baru agar dapat membina keyakinan rakyat terhadap agenda pemulihan negara serta keadilan yang dirasai oleh semua pihak seiring dengan norma baru yang dipraktikkan di seluruh negara dan dunia ketika ini.

Dalam pada masa yang sama, keperluan penjanaan pendapatan negara adalah sama penting dengan bagaimana suatu peruntukan itu dibelanjakan dan ia memang diakui perlu seimbang dan telus. Hasil yang diperolehi perlu dinikmati oleh kesemua rakyat amnya dan bukan hanya retorik semata serta tertumpu kepada golongan tertentu.

Cadangan untuk pihak kerajaan menuntut perkongsian keuntungan daripada syarikat mega yang menjalankan aktiviti perkhidmatan atas talian adalah sesuatu yang amat disokong memandangkan penggunaan meluasnya di Malaysia dan ketika ini negara kehilangan pendapatan yang besar apabila syarikat-syarikat ini tidak dikenakan cukai korporat. Cukai perkhidmatan terhadap aktiviti perkhidmatan atas talian juga perlu turut diberi perhatian apabila ia dilihat berpotensi menaikkan kutipan hasil negara.

Cadangan beliau untuk membuka penjualan saham dalam syarikat Digital Nasional Berhad kepada pengusaha telco tempatan boleh dikatakan mampu membantu syarikat-syarikat ini berdaya saing di dalam menaiktaraf perkhidmatan mereka namun apa yang dikhuatiri adalah kos yang dikenakan kepada pelanggan dilihat masih tinggi dengan capaian yang agak terhad terutama di kawasan luar bandar malah di kawasan bandar juga masih ada capaian yang terhad dan terganggu.

Adalah lebih wajar sekiranya syarikat-syarikat telco tempatan menaiktaraf mutu perkhidmatan mereka sesuai dengan harga yang dibayar oleh rakyat jelata. Apatah lagi, pelepasan cukai kepada penggunaan data dan internet dilihat tidak berubah setelah hampir beberapa tahun dan ia patut dinilai semula apabila hampir semua rakyat Malaysia melalui norma baru.

Di dalam ketidaktentuan ekonomi beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapati kadar dividen yang dinikmati oleh rakyat di dalam pelaburan contohnya ASB dan Lembaga Tabung Haji adalah sangat rendah. Ramai rakyat terkesan apabila terpaksa menanggung kerugian apatah lagi pulangan lebih rendah daripada kos faedah dan pinjaman yang perlu dibayar kepada pihak bank.

Adakah kita sekali lagi ingin menyebabkan rakyat lebih tersepit dengan menyertai skim pinjaman pembelian saham? Pihak bank pastinya tidak semudah itu untuk memberi kadar faedah yang rendah apatah lagi memberi kelulusan mudah. Ia kedengaran hebat di atas kertas namun dari segi pelaksaan, adakah ia benar-benar akan membantu pihak yang memerlukan atau lebih memberi tekanan kepada golongan ini?

Rakyat yang memerlukan amat ternanti-nanti akan bantuan seperti BPN dan sekiranya ia dipotong untuk melunaskan bayaran yang dipinjam, di manakah bentuk bantuan yang dimaksudkan? Pihak mana yang dilindungi oleh kerajaan nanti? Pihak bank atau rakyat? Pihak bank telahpun diketahui mengaut keuntungan yang sangat besar walaupun berdepan dengan pandemik namun kemaslahatan rakyat masih tidak terbela sepenuhnya. 

Adakah wajar dan sesuai platform dagangan kripto asing diperkenalkan pada ketika ini? Apakah risiko pelaburan ini terhadap negara? Bank Negara disaran agar melihat dengan lebih teliti sebelum membenarkan platform seperti ini memasuki Malaysia baik dari segi perundangan serta risikonya. Sering kali dilihat cadangan yang kedengaran hebat dan gah namun canggung di pelaksanaannya. Adakah kita perlu terburu-buru sedangkan cadangan pemulihan Covid-19 masih lagi samar-samar dengan kes harian yang tidak menunjukkan tanda penurunan daripada 5 angka sejak lebih sebulan lalu. Keseluruhan cadangan bukanlah kesemuanya tidak baik namun perlu diteliti semula pelaksanaan dan kesan jangka pendek dan panjang terhadap program pemulihan negara.

Kita mahukan negara yang berisiko jangkitan Covid-19 yang rendah di mana peluang ekonomi dapat dinikmati oleh semua rakyat jelata, sistem pendidikan kembali pulih seiiring dengan ekonomi dan tahap kesihatan rakyat berada pada keadaan terbaik.

Kerajaaan kena jaga rakyat. Itulah tujuannya sistem demokrasi di mana rakyat memilih pemimpin untuk mewakili mereka, bukannya mewakili poket pemimpin sahaja.

Sekian.

Oleh Ashraf Bin Rosli

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts