MENYEMAI PENDIDIKAN KEUSAHAWANAN KANAK-KANAK ABAD KE-21

372
SHARES
2.2k
VIEWS

Kerjaya kanak-kanak pada masa akan datang adalah sesuatu yang sukar untuk diramalkan pada ketika pandemik Covid-19 yang sedang melanda. Kebimbangan ibu bapa khususnya, terhadap masa depan anak-anak juga banyak dipengaruhi dengan persepsi bahawa kesan kejatuhan ekonomi global turut memberi impak terhadap kestabilan kewangan dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia. Tidak hairanlah bila mana organisasi dunia seperti United Nations, Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO), UNICEF, Bank Dunia, dan beberapa agensi dunia telah menekan butang panik dengan memperkenalkan Deklarasi Incheon Education 2030 dalam menyatakan komitmen mereka untuk membantu sistem pendidikan yang berteraskan kewangan bagi negara yang terjejas teruk. 

Sama ada situasi ini membimbangkan ibu bapa atau tidak, pemupukan suatu budaya baru yang bermanfaat dalam erti kata norma baharu perlu diberikan perhatian terhadap perkembangan kanak-kanak. Elemen kreativiti dan inovasi, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) serta STEM  (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) antara elemen penting yang menjadi pendekatan di dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan khususnya dalam abad ke-21. Walau bagaimanapun, untuk persediaan pendidikan dan kemahiran anak dari aspek kerjaya, elemen keusahawanan dan kewangan juga merupakan perkara penting dalam menghadapi cabaran kehidupan di masa hadapan.

Minat dan Bakat Usahawan Si Kecil

Bagi menggalakkan persediaan generasi awal terhadap cabaran kerjaya akan datang, pendidikan keusahawan dalam kalangan kanak-kanak seharusnya menjadi amalan yang berguna dalam menerapkan kehidupan berdasarkan pengalaman sebenar (real experiential). Dalam usaha Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Dasar Pelan Pembangunan Pendidikan  2020-2023 yang menekankan aspek kelangsungan persediaan kehidupan sejahtera di masa hadapan, generasi awallah yang antara pengamal utama yang bakal bersedia dalam menghadapi dunia pekerjaan yang makin mencabar. 

Semua kejayaan adalah bermula dengan idea dan pelaksanaan yang hebat. Ia memerlukan daya usaha dan disiplin melalui sesuatu bakat pada tahap tinggi yang dipupuk sejak kecil lagi. Kanak-kanak ini mampu menyerlahkan ciri kepimpinan, berdaya saing, mampu  membuat keputusan dan bijak mengurus kewangan dalam memastikan keberkesanan sebagai seorang usahawan dapat digiatkan dengan lebih menyeluruh. Semangat yang dipupuk ini seharusnya diserlahkan dengan minat agar ia terus subur dengan persekitaran yang sangat membantu. Di sinilah pentingnya peranan pendidik dan ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran yang membantu perkembangan mereka dalam bidang keusahawanan. 

Budaya Keusahawan dalam Keluarga

Pendidikan berkaitan asas keusahawanan awal kanak-kanak haruslah lebih khusus, bersifat penglibatan secara langsung di rumah dan dikembangkan dengan lebih realisitk. Contohnya, permainan popular papan Monopoly yang bercirikan perniagaan perumahan dan hartanah,  seharusnya boleh dirancang bersama anak-anak di rumah bagi memberi pengalaman dan kemahiran dalam hal ehwal pengurusan kewangan yang dimainkan. Menurut Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, Pakar Pendidikan Kewangan Pengguna dari UPM menyatakan bahawa antara elemen penting asas keusahawanan kanak-kanak yang boleh dibudayakan di rumah adalah melibatkan pendidikan kewangan, simpanan dan belanjawan, kesediaan menghadapi peristiwa yang tidak dijangka, pengenalan kepada wang, keperluan dan kemahuan simpanan perkongsian. Apabila kanak-kanak didedahkan dengan arahan dan program pendidikan berkaitan dengan kewangan yang menarik dan sesuai sedikit sebanyak telah memberi impak kepada kemahiran mereka menguruskan kewangan dengan bijak dan berhemah pada masa akan datang.

Budaya berniaga yang diterapkan ketika kecil sebenarnya dapat melahirkan bakal usahawan yang dapat mengharungi cabaran kerjaya pada masa akan datang. Oleh itu, pendidikan asas keusahawanan yang diterapkan kepada kanak-kanak merupakan pendekatan yang dapat mengurangkan jurang ekonomi masyarakat melalui kejayaan generasi ini yang berjaya menguruskan kewangan dengan memanfaatkan teknologi digital masa kini.

Oleh itu, peranan ibu bapa adalah penting untuk mewujudkan persekitaran yang membantu perkembangan kanak-kanak dalam bidang keusahawanan. Justeru itu, suatu medium baru dalam membentuk model asas keusahawanan yang diamalkan oleh ibu bapa dalam bentuk maklumat digital kepada kanak-kanak adalah sangat penting bagi tujuan pelaksanaan dan penilaian secara berterusan. 

Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Bin Masnan

Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak

Fakulti Pembangunan Manusia

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

(Penulis juga merupakan Timbalan Pengerusi Sub-Kluster Pendidikan Awal Kanak-kanak, Akademi Profesor Malaysia serta Profesor Adjung dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak di UNITAR

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts