KABINET ISMAIL SABRI TIDAK BOLEH ‘SABOTAJ’ KELUARGA MALAYSIA

108
SHARES
349
VIEWS

Isu Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob melantik kabinet besar berjumlah 69 Menteri dan Timbalan Menteri ini tentu menjejaskan reputasi beliau selaku Perdana Menteri UMNO melainkan mereka yang dilantik kembali ini tidak menimbulkan masalah seperti sebelumnya. Jika ini berlaku sama seperti sebelumnya maka dikhuatiri ia akan menjejaskan kredibiliti dan reputasi Perdana Menteri kesembilan itu di mata rakyat selain menyukarkan usaha kerajaan memulihkan negara. 

Ini termasuklah jika ada Menteri atau timbalannya yang tidak membuat kerja atau bercuti panjang, berlagak seperti “golongan kayangan”, kerap melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan dan bersikap tidak malu membuat kesalahan tanpa meminta maaf, serta tidak cermat dan angkuh dalam mengeluarkan kenyataan selain tidak menyantuni rakyat dengan sebaik mungkin.

Kerajaan pimpinan Ismail Sabri kali ini tidak lagi boleh dilihat mewujudkan layanan dua darjat dan berbeza antara pemimpin dan rakyat sebaliknya diberi layanan yang sama dan perlu dihukum sama rata jika membuat sebarang kesalahan. Sebarang cadangan atau inisiatif rakyat seperti pengeluaran wang KWSP dan moratorium automatik termasuk mengangkat bendera putih perlulah ditangani atau disantuni dengan sebaik mungkin, berhelah serta sentiasa bersikap mesra dan mendahulukan rakyat.

Dalam isu Datuk Zuraida Kamaruddin mengeluarkan kenyataan bahawa kes pembunuhan arwah Adib akan ditutup sementara turut menimbulkan ketidakpuasan dalam hati rakyat sedangkan insiden ini benar-benar mengesankan rakyat terutamanya penjawat awam. Rujuk pautan; https://editormalaysia.com/24392/

Kerajaan tidak lagi boleh dilihat seolah-olah hanya mementingkan golongan kaya atau T20 sahaja selain pihak bank, sedangkan dalam masa yang sama rakyat yang terkesan secara langsung semakin bertambah, sehingga kes membunuh diri dan tekanan perasaan atau depresi juga turut meningkat. Semua perkara yang dinyatakan ini jika gagal ditangani dengan baik oleh Ismail Sabri dan kabinetnya, jika tidak ia bakal menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang akan dizahirkan terang-terangan di PRU-15 kelak. Malah partinya sendiri iaitu UMNO turut dikhuatiri akan terjejas. 

Perlu diingatkan juga bahawa pasukan Ismail Sabri  terutamanya Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kerajaan Keluarga Malaysia ini tidak boleh membuat kesilapan seperti yang pernah dilakukan oleh pasukan Mahiaddin dan PMO-nya sebelum ini. Mereka bukan sahaja gagal mencipta imej dan persona positif buat Perdana Menteri malah terlihat pula seolah-olah cuba mensabotajnya – bukan hanya sekali malah berkali-kali.

Ultimatum kepada ‘sabotaj’nya itu ialah apabila PMO gagal memberi kenyataan secara lebih berhemah kepada YDP Agong yang bertitah agar Sidang Parlimen diadakan segera sehingga pihak Istana menzahirkan perasaan “dukacita dengan kerajaan Perikatan Nasional”. Kenyataan pihak Istana murka terhadap kerajaan seperti ini jelas tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sebelum ini dan meninggalkan legasi buruk buat pentadbiran Mahiaddin yang tidak mungkin dilupakan rakyat. 

Selain itu, insiden PMO memberi makluman bahawa Perdana Menteri tidak sihat akibat daripada cirit-birit juga merupakan antara contoh kegagalan terbesar komunikasi dan perhubungan awam tertinggi kerajaan, yang memberi aib besar kepada Mahiaddin sendiri. Pasukan beliau yang sepatutnya membantu dan membelanya dalam setiap ketika dan keadaan malah terlihat seperti cuba menjatuhkan dan memalukan Mahiaddin walaupun mungkin tidak disengajakan – yang ketika itu sudah cukup tertekan dengan masalah akan kehilangan sokongan serta persepsi umum bahawa kerajaannya telahpun gagal.

Diharapkan, PMO yang baharu ini mampu menjaga dan membina imej baik buat Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan sebarang kenyataan, makluman atau hebahan media perlu dibuat dengan lebih berhati-hati dan jauh lebih berhemah. Jangan diulangi kesilapan seperti yang dilakukan oleh pasukan Mahiaddin yang hanya merosakkan imej beliau berbanding membantunya. 

Justeru, dalam kesempatan 100 hari ini, ‘kompromi’ Ismail Sabri perlulah berlandaskan realiti semasa dan bukan retorik ataupun laungan basi seperti kerajaan sebelum ini. Perdana Menteri kesembilan ini perlu buktikan bahawa beliau mampu mentadbir negara dengan baik dan berkesan serta segera mengeluarkan negara daripada kemelut pandemik. Sekaligus mampu menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dan memulihkan ekonomi negara di sebalik kompromi dan tekanan berterusan yang dihadapinya.

Apa yang penting, asalkan negara dan rakyat mampu diselamatkan daripada malapetaka pandemik dan kelumpuhan ekonomi walaupun ada beberapa tindakan ‘kompromi’ yang terpaksa dilakukan turut dikecam oleh akar umbinya sendiri. Dalam masa yang sama rakyat juga sepatutnya bersangka baik dan berdoa agar beliau mampu melakukan perubahan kerana pertukaran Perdana Menteri yang dimahukan rakyat sudahpun berlaku.

Justeru, kini adalah masa untuk memberi peluang kepada kerajaan dan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri untuk membuktikan bahawa kerajaan beliau ini bukan sekadar beretorik tetapi mampu membuktikannya dengan tindakan berkesan. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts