LATIFF NAFI NADMA TIDAK TERLIBAT PENGURUSAN BANJIR

167
SHARES
538
VIEWS

Sehari dua ini majoriti rakyat Malaysia termasuk netizen mempertikai dan mengecam keras kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang bertanggungjawab terhadap Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri (NADMA) kerana dikatakan tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam dan hanya menguruskan pampasan. 

Beliau yang menyalahkan media “tersalah petik” kenyataannya berkata bahawa tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan. “Ini adalah laporan yang tidak bertanggungjawab dan tidak betul serta mengelirukan banyak pihak. Pastikan laporan yang tepat sebelum dikongsi,” yang dijelaskan menerusi hantaran di laman Facebook-nya hari ini.

Sungguhpun beliau telah menafikannya, timbul persoalan utama iaitu kenapa Perdana Menteri secara tiba-tiba menugaskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menggantikan NADMA dan juga tindakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak bagi membantu mangsa banjir tanpa menunggu arahan NADMA? Bukankah dua bukti ini jelas menunjukkan bahawa NADMA di bawah Latiff gagal bertindak sewajarnya di sebalik tindakan pantas yang sepatutnya diberikan? Malah bukan sahaja gagal, menterinya dilihat hanya mengeluarkan kenyataan berdolak-dalik dan bukannya segera menyelaras bantuan. Malah NADMA dilihat hanya bermesyuarat semalam, 21 Disember iaitu hanya selepas empat hari banjir besar melanda.

Inilah akibatnya apabila Ahli Parlimen ‘katak’ diberi jawatan menteri malah ditugaskan pula menjaga portfolio penting melibatkan bencana alam, mereka hanya tahu berpolitik dan bukannya menyelesaikan masalah. Termasuklah Datuk Seri Azmin Ali yang diberikan portfolio besar berkaitan ekonomi namun gagal menjaga kementeriannya sebaik mungkin bagi membawa masuk pelabur ke negara ini tetapi ketika banjir masih sempat memberikan ‘pose’ lazimnya iaitu mencuci lantai. Rina Harun pula yang  masih sempat ‘melawa’ ketika melawat mangsa banjir turut membuat program di hotel bagi memberikan bantuan – yang dikecam teruk oleh netizen kerana membuang masa dan membazirkan wang rakyat sahaja. 

Malah penarafan 90 peratus yang diberikan sebelum ini oleh Perdana Menteri terhadap semua kementerian juga dilihat mencurigakan jika beginilah sikap Menteri-menterinya. Jika dalam keadaan genting mereka masih gagal memainkan peranan sebaik mungkin bagi membantu rakyat bagaimana mungkin mereka layak menerima 90 peratus penarafan? Apapun kini tentera telahpun bersuara, selepas ini agensi atau kementerian mana pula agaknya akan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka?

Apapun syabas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berani menugaskan MKN bagi menggantikan NADMA yang dilihat ‘lemas’ menghadapi bencana banjir mengejut yang melanda negara. Diharapkan beliau semakin berani menghadapi beberapa Menteri-menterinya yang bermasalah termasuk daripada partinya sendiri yang ingin menghukum rakyat yang melanggar SOP pandemik Covid-19 dengan hukuman yang lebih keras daripada membunuh. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts