LATIFF DIGESA LETAK JAWATAN, TIDAK PERLU MEREPEK – PUTRA

148
SHARES
477
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PUTRA MALAYSIA

23 Disember 2021 | 18 Jamadilawal 1443H

1. PUTRA amat kesal dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyandang portfolio Tugas-tugas Khas iaitu Datuk Dr Haji Abdul Latiff Bin Ahmad. Menurut kenyataan beliau yang dilaporkan oleh Malaysiakini memetik laporan bertarikh 23 Disember 2021, beliau menyebut “Bubar (Nadma) boleh, saya setuju. Saya letak jawatan (pun) boleh. Saya sudah enam penggal (jadi wakil rakyat). Tiada masalah. Tapi apakah solusinya?”.

2. Sebagai seorang Menteri yang berpengalaman dan sudah enam penggal menjadi wakil rakyat, beliau sepatutnya tahu dan faham apakah tugasan dan fungsi portfolio yang dipegang beliau. Bencana banjir ini bukanlah sesuatu yang baru, sepatutnya beliau memastikan NADMA sentiasa bersiap sedia menghadapi apa sahaja ancaman termasuk banjir yang sentiasa berlaku pada tiap hujung tahun.

3. Kelewatan dalam mengurus bencana banjir kali ini adalah satu perkara yang amat memalukan. Di negara luar contohnya di Jerman, Menteri didesak meletakkan jawatan kerana gagal menguruskan banjir. Menteri tidak perlu menyatakan “Apakah solusinya?” kerana dengan kenyataan tersebut cukup melayakkan menteri tersebut meletakkan jawatan kerana sudah ketandusan idea atau menteri sengaja hendak berdolak-dalik kerana sayangkan jawatan? Biarlah bakal penyandang portfolio fikirkan apakah strategi dan langkah terbaik bagi gerak kerja seterusnya kerana ada pepatah Inggeris menyatakan “Nobody is indispensable”.

4. PUTRA amat kesal apabila aset-aset strategik kepunyaan agensi yang gah seperti NADMA tidak digunakan apabila perlu, sedangkan sebelum ini pihak Perdana Menteri sendiri telah merasmikan aset-aset tersebut demi untuk menunjukkan kesiapsiagaan agensi untuk menghadapi bencana alam terutamanya banjir yang sememangnya telah diketahui akan terjadi.

5. Rakyat mahu melihat aset-aset tersebut ‘beraksi’ ketika keadaan memerlukan, bukan sekadar sebagai tontonan awam dan akhirnya hanya digerakkan ketika ada pameran atau semasa menyambut Hari Kebangsaan.

6. Kehilangan nyawa hampir 40 orang tidak sepatutnya terjadi sekiranya Pengarah Koordinasi NADMA lebih peka dan bijak mengatur strategi menyelamat, dan jikalau MENTERI TIDAK BIJAK, sewajarnya beliau mengambil pandangan daripada mereka yang lebih bijak seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang begitu pantas dalam menjalankan misi menyelamatkan mangsa banjir.

8. Ini baru banjir, belum lagi kemarau atau kebakaran hutan secara besar-besaran, apatah lagi jika berlaku bencana tsunami. Adakah NADMA bersedia? Atau hanya ‘bersedia’ untuk membiarkan rakyat bantu rakyat dan Menteri yang bertanggungjawab hanya akan kata “tidak tahu”?

9. Jangan kejam sangat dengan rakyat, rakyat memerhati satu persatu tingkah ahli politik yang sedang memegang kuasa sekarang. Banjir ini bukan sahaja mempertaruhkan harta benda, bahkan nyawa. Berehsanlah dengan rakyat, agar negara sejahtera.

10. Ini adalah perkara serius dan PUTRA menggesa pihak kerajaan terutama Perdana Menteri menggantikan Menteri yang lebih proaktif bagi menangani isu bencana ini dengan lebih efektif kerana ini bukan sahaja melibatkan harta benda dan pendapatan rakyat yang terjejas malah ia melibatkan nyawa rakyat dan juga masa depan negara.

Sekian. Terima kasih

Ashraf Bin Rosli 

Ketua Penerangan PUTRA Malaysia 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts