PERDANA MENTERI DAN KERAJAAN PERLU SEGERA TUBUHKAN JAWATANKUASA BEBAS BERSIHKAN NAMA AZAM BAKI

435
SHARES
2.6k
VIEWS

Isu yang membelenggu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dilihat semakin panas walaupun selepas Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) memberi penjelasan semalam.

Ini kerana hujah yang digunakan adalah semata-mata bergantung kepada alasan Azam Baki iaitu akaunnya digunakan oleh adik beliau untuk membeli jutaan saham daripada sebuah syarikat. Malah menurutnya saham-saham itu kini juga telahpun dipindahkan ke akaun adiknya – walaupun wujud persoalan kenapakah adiknya itu tidak terus menggunakan akaunnya sendiri sebelum ini?

Selain isu adakah Azam selaku penjawat awam telah mengisytiharkan pemilikan dan pembelian saham itu lebih awal kepada kerajaan, timbul juga persoalan lain iaitu bukankah beliau sepatutnya tahu bahawa tindakannya ini boleh didakwa di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA)? Ini kerana dengan pembelian dan pemilikan berjuta saham dalam sebuah syarikat oleh seorang penjawat awam tentu menimbulkan kecurigaan dan prasangka. 

Bukankah selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau sepatutnya lebih tahu dan sedar (aware) bahawa beliau atau adiknya itu perlu buktikan daripada manakah datangnya dana yang diperolehi untuk membeli jutaan saham tersebut? 

Apa yang lebih merungsingkan ialah akan ada individu atau pihak tertentu terutamanya penjawat awam akan menggunakan alasan yang sama seperti Azam selepas ini, yang tentunya akan menimbulkan kerumitan di pihak berkuasa termasuklah SPRM sendiri untuk menyiasat. 

Justeru Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu berani dan wajar merehatkan Azam serta menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas untuk menyiasat secara menyeluruh, seperti mana yang dicadangkan oleh Presiden PUTRA sebelum ini. Rujuk pautan; https://editormalaysia.com/24865/

Jika benar-benar tidak bersalah dan tiada apa yang perlu disorokkan, maka tiada apa yang perlu ditakutkan jika siasatan menyeluruh ini dilakukan. Ini kerana Azam dan SPRM serta LPPR bukan sahaja perlu bertindak adil, telus dan bersih malah lebih perlu dilihat sebagai adil, telus dan bersih.

Rakyat menunggu apakah tindakan Perdana Menteri dan kerajaan seterusnya. Sementara itu, Azam sendiri perlu mengambil cuti dan berehat untuk menjaga kredibiliti dan integritinya. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts