KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA
5 Januari 2022
1. PUTRA ingin memberi sedikit pandangan mengenai Sidang Media antara Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM dan Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Azam Baki akan mengadakan Sidang Media hari ini Rabu, 5 Januari 2022 jam 5 petang di Putrajaya.
2. Tujuan Sidang Media ini adalah untuk menjawab segala tuduhan terhadap Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Azam Baki berkaitan saham-saham yang dimilikinya serta isu-isu berkaitan.
3. Menurut PUTRA, tujuannya sudah terang lagi bersuluh. Ia untuk memberi penjelasan dan membersihkan Azam Baki yang kini dipersoal ketelusan dan integritinya.
4. Sudah tentu Sidang Media yang dihadiri bersama Ketua Pengarah SPRM hari ini jawapannya sudah diketahui umum iaitu bersih, tidak ada salah laku dan semuanya fitnah untuk memburukkan Azam Baki.
5. Sedikit nasihat ringkas kepada Tan Sri Abu Zahar Ujang selaku Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM, iaitu lebih baik beliau beri cadangan dan menasihati kerajaan secara terbuka agar menubuhkan JAWATANKUASA BEBAS yang terdiri daripada wakil Ahli Parlimen pro kerajaan dan pembangkang, wakil NGO yang bermaruah, wakil daripada Majlis Peguam, Peguam Negara, serta wakil daripada Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman dan lain-lain individu yang berintegriti.
Malah saya sendiri bersedia turut serta dalam Jawatankuasa Bebas tersebut bagi menyiasat Ketua Pengarah SPRM tersebut secara sukarela dan tanpa apa-apa bayaran elaun.
6. Jawatankuasa Bebas ini diberi hak untuk menyelongkar segala maklumat dengan semua pihak dan diberi masa 3 bulan untuk menyediakan laporan siasatan. Laporan ini kemudiannya akan dibentangkan di Parlimen. Jika tiada apa salah laku, maka nama baik Ketua Pengarah SPRM dapat dibersihkan tanpa apa-apa lagi persepsi buruk.
7. Maka tidak perlulah bersusah-payah mahu mengadakan Sidang Media jika sekadar untuk “berkokok tetapi ayam tidak bertelur”. Rakyat mahu laporan bebas dan berintegriti bukannya sekadar Sidang Media yang dihadiri oleh Ketua Pengarah SPRM sendiri. Bukankah imej SPRM sudah tercalar, terpalit dengan isu rasuah dan mula diragui rakyat seumpama “diharapkan pagar, tetapi pagar makan padi”.
Ini merupakan pandangan ikhlas PUTRA yang tidak mahu membuang masa semua pihak.
Terima kasih.
PERJUANGAN PUTRA BERSIH & BERMORAL
Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali
Presiden PUTRA