KENYATAAN MEDIA BIRO PENERANGAN PARTI BUMIPUTERA PERKASA MALAYSIA (PUTRA) BAHAGIAN GOMBAK
29 Januari 2022
Amat mendukacitakan apabila menerima laporan dan keluhan daripada pekerja beragama Islam yang disekat melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim untuk menunaikan solat sewaktu mereka bekerja.
Laporan bertarikh 28 Januari 2022 daripada Malaysian Alliance Of Civil Society Organisation In The UPR Process (MACSA) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di mana banyak laporan diterima sehingga ada di antaranya majikan menetapkan denda RM500 sekiranya ingkar arahan dan peraturan syarikat mengenai larangan solat.
Tuan Mohamed Shahrin Ismail selaku Timbalan Ketua Bahagian Gombak menggesa pihak Kerajaan Malaysia pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri mengambil tindakan tegas kepada majikan dan syarikat yang melanggar undang-undang terutamanya melibatkan hak sebagai pekerja seperti yang telah direkodkan laporan MACSA dan MTUC.
Pada Persidangan Agung kali ke-2 Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) pada 23 Januari 2022 yang lepas, Presiden PUTRA Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali menyebut “PUTRA dengan tegas menolak segala fahaman liberal dan hak asasi manusia yang bercanggahan dengan ajaran Islam” seperti yang terkandung dalam Al Quran, Hadis Sahih, Ijtimak Ulama dan adat resam budaya bangsa sekaligus menekankan Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Di manakah kekuatan majoriti penganut Islam di Malaysia sebagai agama Persekutuan jika hal sebegini ingin melaksanakan solat dipertikaikan? Apa yang telah ditetapkan oleh Akta Buruh mengenai waktu solat adalah 20 minit dan solat Jumaat 1 jam 30 minit sewajarnya dipatuhi.
Pihak Kerajaan Persekutuan perlu lebih cakna dan peka kepada nasib pekerja yang ditekan seolah-olah tiada undang-undang yang mampu memberi hak yang sememangnya termaktub di dalam akta tersebut. PUTRA mendukung Perlembagaan dan Institusi Beraja serta tegas menolak sikap rasis agama dan bangsa yang dikhuatiri akan mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Mohd Azfarudin Bin Ariffin
Ketua Penerangan PUTRA Bahagian Gombak