PRN JOHOR: KENAPA PAS-PN SANGGUP ‘BERSAMA’ DAP-PH CUBA TUMBANGKAN UMNO-BN?

167
SHARES
540
VIEWS

Pertandingan pelbagai penjuru kelak menanti pengundi-pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 8 Mac buat pengundi awal dan hari pengundian pada 12 Mac. Apa yang pasti Perikatan Nasional berusaha menumbangkan UMNO-Barisan Nasional dan bukannya menentang DAP-Pakatan Harapan. Banyak terbukti dalam ceramah-ceramah mereka termasuk daripada PAS sendiri cuba memburukkan UMNO sedangkan bersama dalam Muafakat Nasional. 

Sepatutnya sebagai sebuah parti yang katanya memperjuangkan Islam, PAS wajar menasihati Bersatu agar bersama menolak dan menumbangkan DAP dan Pakatan Harapan. Bukannya ‘naik’ sama menghentam dan cuba menumbangkan parti Melayu Islam UMNO yang kini menjadi parti tunggal tidak pernah bekerjasama dengan DAP. Malah PAS sendiri patut malu kerana mempunyai sejarah lampau bersama DAP dan PKR yang kini menurut mereka anti Islam dan PKR pula wajib ditolak kerana diketuai Anwar Ibrahim yang tidak bermoral. Dahulu ketika bersama kenapa halal dan ketika tidak bersama kenapa sudah menjadi haram pula? Rakyatpun masih belum lupa bagaimana Haji Hadi termalu sendiri apabila membuat dalil baharu bagi menghalalkan “Tahaluf Siyasi 2.0” demi untuk memastikan Mahiaddin kekal Perdana Menteri namun akhirnya gagal. 

Selain itu, tuduhan Perikatan Nasional bahawa kononnya kluster mahkamah cuba untuk mempengaruhi kerajaan menggugurkan pertuduhan sebenarnya hanyalah satu fitnah. Jika ada bukti apa kata Perikatan Nasional termasuk Haji Hadi menunjukkan bukti terlebih dahulu untuk rakyat menilai? Dalam undang-undang di dunia ini, beban pembuktian terletak pada yang menuduh, apatah lagi dalam Islam ia boleh menjadi fitnah. Tentu PAS lebih arif mengenai dosa fitnah dan jangan suka menuduh seorang Islam lain tanpa menghadirkan sebarang bukti.

Jika hanya mendengar dan percaya dengan cakap Tan Sri Mahiaddin Yassin, beliau sendiri takut untuk bersumpah laknat hatta menafikan dirinya terlibat skandal dengan isteri seorang hakim. Beliau juga masih takut menyahut cabaran bersumpah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi benar-benar berjumpa dengannya membawa pelbagai dokumen bagi menggugurkan pertuduhan. Sepatutnya lebih adil dan wajar Haji Hadi dan PAS meminta bukti daripada Mahiaddin terlebih dahulu dan kemudian bersumpahlah bahawa anda yakin bukti-bukti itu benar, bukan hanya semberono menuduh. 

Secara logiknya, tindakan Perikatan Nasional menentang calon UMNO di PRN Johor dan PRN-PRN lain sebelum ini hanya membuka peluang untuk DAP-Pakatan Harapan untuk menang. Tindakan ini tidak selari dengan hasrat PAS dan Perikatan Nasional yang kononnya mahu memperkasa penyatuan ummah. Jika benar jujur mahu memperkasa penyatuan ummah, kenapa menghentam UMNO dalam ceramah-ceramah sedangkan ia merupakan parti Melayu Islam terbesar di negara ini? Malulah jika berketayap, berjanggut dan berserban namun kata-kata anda hakikatnya memecah-belahkan ummah. Penyatuan ummah tidak mungkin wujud jika PAS hanya mahu bersama Bersatu tanpa UMNO.

Justeru tindakan PAS dan Perikatan Nasional ini tidak memberikan UMNO pilihan melainkan “No nego, go solo“. Bagaimana hendak ‘nego‘ jika PAS lebih awal memihak kepada Bersatu dan ‘memaksa’ UMNO menerima terma dan syarat mereka. Ini bukan cara Islam sebaliknya tindakan menekan dan tidak memberi pilihan ini mirip cara rejim Israel.

Kesimpulannya, kepada PAS, sudah-sudahlah memperbodohkan diri sendiri dengan diperkuda oleh Mahiaddin dan Bersatu. Jika anda rasa rakyat bodoh dan tidak tahu, jangan lupa Allah itu Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui apa yang anda lakukan. Internet juga tidak pernah lupa, apa yang anda kata dan lakukan semuanya masih tersimpan dan mempunyai ‘archive‘ sehinggakan akar umbi anda sendiri kini malu dengan pemimpin-pemimpin mereka yang takut kehilangan kuasa. 

Muhasabahlah PAS dan Perikatan Nasional, hal-hal dunia termasuk politik kepartian ini hanya sementara, tetapi akhirat itu kekal selama-lamanya. Kelak apa sahaja kesalahan dan kesilapan yang anda lakukan tidak akan terlepas daripada hukuman Allah Taala. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts