Ketika berucap merasmikan persidangan tiga sayap UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam tadi, Dato’ Seri Utama Mohamad Bin Hasan atau Tok Mat, secara terbuka dan tegas berkata UMNO tidak akan sesekali berpakat dengan Bersatu dan DAP. Beliau turut mengambil kesempatan menegur PAS yang berdolak-dalik dengan kerjasama antara Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.
“Semua ini memerlukan keunggulan politik dan hikmah. Bukan hanya tangkap muat seperti pembentukan Perikatan Nasional (PN).”
“Katak, sesumpah, itik, segala yang melintas dan terbang di hadapan mereka cekup dan ambil.”
“Yang pasti, kita tidak akan mengajak berpakat parti yang secara terang-terangan ditubuhkan untuk menggantikan UMNO. Apa lagi DAP dengan agenda cauvinismenya.”
“Dan kepada si mata keranjang, yang bermain pelbagai kolam, mendambakan keuntungan daripada semua dan berasmara dengan pelbagai musuh UMNO tetapi pada waktu sama cuba bercinta dengan UMNO, pendirian UMNO ialah tidak pada yang curang dan hanya pada yang setia.“
Sebagai rekod, berbanding PAS dan Bersatu, UMNO satu-satunya parti yang konsisten dengan kerjasama antara parti dan tidak pernah menjalin hubungan politik dengan DAP dan PKR.