CATATAN DARI EROPAH: TRANSFORMASI PENDIDIKAN AWAL DI SLOVAKIA 

346
SHARES
2k
VIEWS

Pengalaman mengenali sistem pendidikan awal kanak-kanak di Slovakia sesuatu perkara yang menarik untuk dipraktikkan di Malaysia. Begitulah pandangan Prof Madya Dr. Abdul Halim Bin Masnan, serta Prof. Madya Dr. Nordin Bin Mamat, pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI yang berpeluang untuk mengikuti Program Sangkutan di Trnava University di Trnava, Slovakia.

Mereka telah mengikuti program tersebut selama 3 minggu bermula pada 12 Mac 2022, berpeluang mengenali dengan lebih dekat mengenai pendekatan pendidikan awal yang diamalkan ni negara tersebut, di samping berkongsi idea dan pengalaman pendidikan di Malaysia.

Pengenalan Pendidikan Awal di Slovakia

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan kanak-kanak di Slovakia yang menghadiri taska atau tadika telah berkembang dengan sangat mendadak. Sebagai contoh, peratusan kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pendidikan di tadika adalah lebih daripada 94 peratus. 

Sepanjang mengikuti program tersebut mereka berpendapat bahawa pengurusan taska dan tadika mempunyai kualiti yang baik sama ada di bawah agensi kerajaan ataupun swasta. Taska dan tadika kerajaan telah diuruskan secara profesional di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Penyelidikan dan Sukan Republik Slovakia, yang menyediakan semua dokumen, garis panduan dan maklumat mengikut standard piawaian pendidikan di Eropah.

Sokongan Kerajaan Terhadap Premis Swasta

Pengasas premis swasta kebanyakannya adalah yang melibatkan kanak-kanak antarabangsa, anak-anak bukan warganegara dan gereja atau persatuan agama yang diiktiraf oleh kerajaan. Setiap penubuhan sesuatu taska atau tadika bukan agensi kerajaan (swasta) yang diluluskan penubuhannya layak untuk mendapat pembiayaan penuh dari kerajaan.

Bagi pengusaha swasta, mereka boleh meminta untuk menampung gaji dan lain-lain perkhidmatan dalam jumlah 88 peratus daripada belanjawan negara.

Kelayakan Guru Pendidikan Awal Kanak-kanak

Kelayakan yang paling rendah ialah pendidikan menengah dalam bidang pengajaran di taska atau tadika. Namun, semakin banyak penempatan mengajar yang mempunyai guru berkelayakan sarjana muda dalam bidang pendidikan awal. Mereka mewakili 40 peratus daripada semua guru di tadika. Terdapat juga sebilangan kecil guru yang mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi seperti Master dan PhD.

Bilangan guru yang berkelayakan bagi penempatan guru di premis kerajaan atau swasta adalah hampir mencecah 100 peratus.

Peranan Universiti Awam terhadap Pendidikan Awal

Salah satu tanggungjawab yang dipikul oleh Fakulti Pendidikan di Trnava University adalah untuk menyediakan graduan ijazah atau pasca siswazah yang bersedia untuk bekerja sebagai guru di institusi pendidikan awal kerajaan mahupun swasta.

Apa yang menarik, berdasarkan prestasi semasa fakulti tersebut, statistik menunjukkan hampir keseluruhan pelajar di peringkat ijazah berjaya mendapat penempatan mengikut bidang dan kepakaran mereka sama ada di sektor kerajaan ataupun di swasta.

Kemungkinan faktor bilangan populasi penduduk yang agak rendah, kawalan kerajaan terhadap pengoperasian sekolah dan keperluan belanjawan pendidikan menjadikan pengajian keguruan merupakan antara bidang kerjaya yang mendapat tempat di hati rakyat Slovakia.

Prof Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan

Prof. Madya Dr. Nordin bin Mamat

Penerima Geran Erasmus+ Program Mobiliti Pengajaran

Fakulti Pembangunan Manusia

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts