Tindakan Tan Sri Annuar Musa memihak kepada PAS dan senada dengan Perikatan Nasional dalam isu PASleak semakin mengundang kemarahan ramai termasuk dalam kalangan akar umbi dan pemimpin-pemimpin UMNO yang sedia marah kepada beliau. Annuar sepatutnya mempertahan kepimpinan UMNO dan bukannya membuat kenyataan memperlekeh dokumen yang dibocorkan itu kononnya hanya sebagai catatan, bukan perancangan. Ironinya, jika wujud rancangan untuk menyingkirkan Annuar yang kemudiannya dibocorkan, tentu beliau sendiri akan marah dan mengecam pelakunya.
Sedangkan dalam isu PASleak ini hakikatnya PAS sendiri tidak berani menafikan kesahihan dokumen tersebut dan jika dokumen itu fitnah dan dibuat-buat, logiknya PAS tentu segera membuat laporan polis bagi membersihkan nama. Sebaliknya sudah ada ura-ura akan ada lebih banyak pendedahan mengenai PASleak selepas ini yang semakin memeningkan PAS. Siapa tahu, mungkin juga ada bukti rakaman yang membuatkan pemimpin-pemimpin PAS panik sehingga Annuar membuat kenyataan senada dengan PAS untuk mengalih perhatian.
Selain itu, jika diteliti tindak-tanduk Annuar sebelum ini dalam keadaan pemimpin-pemimpin UMNO diserang kiri dan kanan oleh Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, Annuar bukan sahaja tidak membantu partinya, malah lebih teruk beliau tambah menyulitkan UMNO dengan kenyataan-kenyataannya yang tidak menguntungkan parti. Selain Annuar, beberapa nama seperti Hishamuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin, Nazri Aziz dan Shahidan Kassim juga sering dilihat bertindak di luar ketetapan yang diambil Presiden dan MKT UMNO.
Sehingga kini Annuar dan “UMNO Putrajaya” ini dilihat masih tidak mahu mempertahan UMNO sebaliknya memilih untuk bersekongkol dengan parti yang merancang mahu menjatuhkan pemimpin-pemimpin parti, sekaligus menggagalkan usaha UMNO-Barisan Nasional untuk memenangi PRU ke-15. Malah Annuar dan UMNO Putrajaya tahu akar umbi dan penyokong-penyokong UMNO sudah lama menganggap mereka sebagai pengkhianat dan liabiliti kepada parti tetapi mereka tetap tidak peduli.
Annuar juga sedar, hayat politik beliau bersama UMNO sudah tidak lama. Desas-desus beliau akan disingkirkan semakin kuat didengar setelah isu PASleak diviralkan. Apabila sedar sudah kehilangan ikhtiar untuk mengekalkan jawatan Ahli Parlimen, maka dengan membuat ‘bising’ dan onar sebegini, Annuar berharap pimpinan tertinggi UMNO akan berjumpanya untuk ‘nego‘ jawatan untuk mendiamkan beliau. Tanpa sedar, tindakan beliau hanya menambah kebencian ramai terhadap dirinya dan hayat politiknya semakin mendekat.
Jika UMNO kembali memerintah, Annuar mahu memastikan beliau tidak akan dipinggirkan. Tetapi jika perancangan keji bagi menyingkirkan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tok Mat Hasan dan Dato Sri Mohd Najib Tun Razak berjaya, Annuar dan UMNO Putrajaya tetap beroleh keuntungan – strategi serampang dua mata demi survival politik masing-masing.
Justeru, kerana itulah Annuar kekal ‘meroyan’ sepanjang masa dan cuba menyulitkan partinya dengan tindak-tanduk yang tidak masuk akal. Beliau konsisten dengan strategi menyelamatkan kedudukannya sambil membaling batu sembunyi tangan.
Cukup-cukuplah Annuar, di bulan puasa penuh keberkatan ini bermuhasabahlah dan rapatkan saf, bukannya semakin angkuh dan menjadi asbab kepada perpecahan. Anda juga sudah tidak relevan dalam politik negara dan menjadi contoh buruk kepada generasi muda. Tanpa UMNO, andapun tidak akan ke mana.