Ketika Pakatan Harapan memerintah, Tun Mahathir dan pasukannya berusaha keras untuk memusnahkan UMNO dengan cara pendakwaan terpilih yang lebih bersifat ‘persecution‘ berbanding ‘prosecution‘. Pemimpin UMNO yang tidak mahu melompat parti atau tunduk ‘menyerahkan’ UMNO kepada Tun Mahathir dan Bersatu akan didakwa. Manakala yang turut menerima wang 1MDB seperti Mas Ermieyati tidakpun disiasat, malah beliau menyertai Bersatu dan ‘disucikan’. Lebih teruk, skandal keluarga Tan Sri Zeti Abdul Aziz yang jelas menerima wang 1MDB terus daripada Jho Low didiamkan dan dilantik pula sebagai penasihat Tun Mahathir di dalam Council of Eminent Persons.
Antara cubaan ‘membunuh’ UMNO ini selain memberi tekanan dan dakwaan kepada pemimpin-pemimpinnya seperti Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ialah dengan cubaan mengharamkan UMNO melalui ROS serta cuba menjarah segala aset dan sumber kewangan mereka. Cubaan ini gagal apabila Tun Mahathir meletakkan jawatan kerana tidak mahu menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan apabila melihat Pakatan Harapan terutamanya Bersatu semakin ditolak rakyat.
Usaha Pakatan Harapan yang mahu melaksanakan reformasi politik, undang-undang dan ekonomi negara rupa-rupanya hanyalah retorik semata-mata, dalam masa yang sama harta dan aset negara dijual semahunya. Penjawat awam yang dipukul ketika bertugas sehingga menyebabkan kematiannya tidak lama kemudian langsung tidak dibela oleh kerajaan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan – membuktikan kedaulatan undang-undang dan reformasi menyeluruh hanyalah lawak jenaka atau lelucon yang menjengkelkan.
Selepas ‘wayang’ Tun Mahathir meletakkan jawatan dan bergaduh dengan Tan Sri Mahiaddin Yassin-Bersatu, apa jua salah laku dan kebejatan yang dilakukan Pakatan Harapan tidakpun dibetulkan atau di-undo oleh kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Mahiaddin. Tun Mahathir lebih rela Mahiaddin atau Azmin Ali menggantikannya berbanding Anwar namun kontroversi yang melanda Azmin menyebabkannya terlepas peluang menjadi Perdana Menteri ke-8. Ketika itu Tun Mahathir lebih menyukainya berbanding Mahiaddin namun tergelincir jua apabila video semburitnya yang tulen dibocorkan dan Azmin sekelip mata terkenal sebagai bintang pornografi gay.
Selain Mahiaddin dan Perikatan Nasional tidak ‘undo‘ apa yang dilakukan Mahathir dan Pakatan Harapan, serangan terhadap UMNO dan cubaan membunuh parti tersebut tetap diteruskan. Malangnya kali ini PAS dilibatkan bersama menjadi ‘pisau’ dipegang Mahiaddin dan Bersatu, yang dikawal daripada jauh oleh Tun Mahathir.
Bagi Bersatu, PAS tidak lebih daripada alat atau ‘tool‘ yang akan dipergunakan sesuka hati, melalui segelintir pemimpin-pemimpinnya yang terpedaya dengan sogokan politik “scheme of things” Mahiaddin. Sedangkan bila-bila masa sahaja PAS akan diterajang keluar apabila tidak lagi diperlukan. Selagi ada pemimpin-pemimpin PAS sebegini maka selagi itulah rakyat akan melihat parti ini tidak lebih daripada DAP yang sanggup melakukan apa sahaja. Malangnya ia dilakukan di sebalik imej berjanggut dan berserban – luaran Islamik tetapi dalamannya penuh dengan nafsu serakah politik.
Buktinya jelas melalui kebocoran dokumen yang dikenali sebagai PASleak, yang kini menghantui pimpinan PAS yang terlibat. Bukan lagi memalukan malah membuatkan semuanya panik kerana tidak tahu apa lagi yang akan bocor selepas ini apabila ramai dalam kalangan PAS sendiri tidak setuju dengan kerakusaan segelintir pemimpin-pemimpin atasannya.
Lebih mengejutkan, pendedahan ini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan komplot yang dirancang, di mana mungkin ada rakaman yang akan ditularkan pula selepas ini. PAS dan Bersatu terjerat kerana perancangan kejinya terbongkar, tetapi impak negatifnya lebih memberi kesan terhadap PAS sebagai sebuah parti yang kononnya memperjuangkan politik Islam berslogankan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Rupa-rupanya akronim ‘BPMS’ PAS itu lebih tepat ditakrifkan sebagai “Budaya Politik Machiavelli Sepenuhnya”.
Bagi UMNO pula, kebocoran Pasleak ini seumpana semboyan perang secara senyap yang telahpun dipalu. Jika dalam Islam, perang juga mempunyai adab inikan pula setakat hanya berpolitik, tentunya batasan dan adabnya wajib diikuti oleh semua, tetapi tidak bagi PAS yang segala-galanya ‘halal’ jika dilakukan oleh mereka, tetapi ‘haram’ jika dilakukan oleh pihak lain.
Satu soalan sahaja untuk PAS, sampai bila sanggup diperalat oleh Tun Mahathir dan Mahiaddin walaupun dipandang jijik oleh akar umbi dan penyokong-penyokongnya sendiri? Lebih jijik, PAS turut menyenaraikan kemungkinan bekerjasama kembali dengan DAP, membuktikan apa sahaja yang dilakukannya akan ‘didalilkan’ halal selepas ini. Jelas budaya ‘BPMS’ menjadi amalan dan ‘zikir’ harian mereka.
Sedikit nasihat buat PAS, dalam 10 malam terakhir Ramadan ini wajarlah bermuhasabah, bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Cukup-cukuplah berperangai seperti DAP dan Pakatan Harapan. Semoga pimpinan PAS yang terlibat diberikan taufik dan hidayah untuk mengetahui mana yang Haq dan mana yang batil. Cara mudah, kembali sahaja kepada Al-Quran dan sunnah, bukan memperguna Al-Quran dan sunnah demi kepentingan politik dan kuasa yang hanya sementara.
Kesimpulannya, tindakan UMNO “no nego, go solo” bertepatan dengan situasi politik ketika ini kerana PAS tidak lagi boleh dipercayai. Jika rancangan jahat PASleak sebegini sanggup dirancang, entah apa lagi selepas ini yang akan dilakukan mereka demi untuk memastikan UMNO tidak kembali berkuasa. PAS mungkin merasa dirinya pandai merancang, tetapi mereka lupa Allah jualah sebaik-baik Perancang.
Wallahualam.