RANCANGAN KHEMAH BESAR DAN USAHA SABOTAJ UMNO

442
SHARES
2.6k
VIEWS

Selepas penularan artikel yang mempersoal keikhlasan Datuk Seri Ismail Sabri kepada partinya UMNO, sama ada benar beliau sedang sabotaj partinya sendiri, pelbagai reaksi diterima sebaik sahaja ia disiarkan. Ada segelintir kecil dalam kalangan UMNO pro Perikatan Nasional menjadi seperti cacing kepanasan dan cuba menafikan berita tersebut. Hakikatnya usaha tersebut sememangnya wujud, terang-terangan dan semua pihak tahu siapa individu dan kumpulan yang dimaksudkan. 

Rujuk berita di pautan; https://editormalaysia.com/26027/

Tidak mampu menjawab persoalan

Namun apabila ditanya kenapakah Ismail Sabri selaku Perdana Menteri masih tidak mahu membubarkan Parlimen dengan segera seperti ketetapan dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) dan MKT, mereka mula berdalih. Ironinya kumpulan pensabotaj ini menggunakan beberapa alasan yang sama digunakan oleh Ismail Sabri sebelum ini iaitu kononnya masalah rakyat masih belum selesai, inflasi masih meningkat serta harga barang naik perlu diselesaikan terlebih dahulu. Sedangkan untuk menyelesai masalah yang mereka sendiri timbulkan ini hanyalah melalui pembubaran Parlimen. Melalui kerajaan yang stabil, barulah Perdana Menterinya tidak mengikut telunjuk parti lain dalam membuat keputusan. 

Alasan lemah pensabotaj

Apabila diasak lagi oleh akar umbi yang setia dengan UMNO dan bukan dalam kalangan yang dilabel sebagai “kategori ketiga” iaitu mereka yang menumpahkan kesetiaannya kepada Tan Sri Mahiaddin dan Perikatan Nasional serta mahu mensabotaj parti sendiri, mereka terkial-kial mencari jawapan. Soalan mudah gagal dijawab seperti kenapa masih tidak mahu bubar Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 ketika UMNO sedang kuat? Dengan muka yang terkulat-kulat mereka memberi jawapan penafian seperti, “UMNO masih belum kuat“, “Mana tahu UMNO mungkin kalah” dan beberapa siri jawapan hambar yang lain.

Guna ‘logik’ Hamzah

Mereka juga menggunakan naratif tidak masuk akal Hamzah Zainuddin, salah seorang bekas pemimpin UMNO ‘katak’ yang ketakutan dan khianat apabila UMNO tumbang, iaitu, “Berapa banyakpun negeri milik UMNO ketika ini?“, kononnya bagi menunjukkan UMNO masih belum kuat. Mujurnya wartawan yang bersama Hamzah itu tidak mengajukan soalan selanjutnya mengenai PRN Johor yang baru sahaja selesai di mana kubu kuat Pengerusi Bersatu sendiri gagal dipertahankan. Jika tidak, dengan Hamzah sendiri akan dimalukan. 

Sorok fakta Bersatu bakal dikuburkan rakyat

Selain itu data lapuk Hamzah yang turut digunakan oleh kumpulan UMNO pro Perikatan Nasional ini tidak berani menyebut mengenai kekalahan memalukan Bersatu di PRN Johor yang menyaksikan kegagalan mereka hatta untuk mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gambir milik Mahiaddin. Sedangkan jentera Perikatan Nasional sudah digerakkan sehabis mungkin di sana dengan belanja yang sebegitu besar untuk memastikan Pengerusi Bersatu itu tidak dimalukan di kubunya sendiri. Tetapi tetap gagal menghadapi kemarahan rakyat. Ini juga data dan fakta yang membuktikan bahawa Bersatu sendiri sudah nyawa-nyawa ikan. Malah, Parlimen Pagoh juga dilihat tidak akan mampu dipertahan Mahiaddin di PRU-15 kelak.

Guna data lapuk

Hakikatnya para pensabotaj dalaman yang menggunakan alasan ini sangat tidak cerdik apabila data lapuk pasca PRU-14 digunakan, yang tentunya menunjukkan negeri yang dimiliki oleh UMNO hanyalah beberapa buah sahaja kerana bukan UMNO-Barisan Nasional yang menang di PRU-14 lepas. Logik mudah sebeginipun tidak mampu difikirkan oleh Hamzah dan para pensabotaj UMNO. 

Auta vs fakta

Sehubungan itu, apabila ‘auta’ digunakan oleh pensabotaj UMNO dan Bersatu untuk melawan fakta UMNO, tentulah ‘equation‘ ini tidak akan menjadi, tentulah terkebil-kebil pihak yang mahu mensabotaj daripada dalam ini akan terkial-kial mencari jawapan. Penafian demi penafian diberikan sedangkan rakyat yang sedang melihat dengan meluat pasti akan membalas dendam sehabis mungkin seperti yang berlaku di PRN Johor. 

PN dan pensabotaj UMNO sanggup bekerjasama dengan DAP-PH

Satu soalan lain yang tidak mungkin boleh dijawab oleh mereka yang pro Perikatan Nasional ini ialah, Adakah mereka hanya akan terima dan reda apabila cadangan ‘khemah besar’ Perikatan Nasional bersama DAP-Pakatan Harapan kelak dijayakan bagi menumbangkan UMNO? – ketika ini mereka bukan lagi terkebil-kebil malu untuk menjawab tetapi muka mereka mula merah padam dan gaya badan mula seperti cicak tertelan kapur.

PN dan PH sedar mereka kini dalam keadaan yang lemah dan ditolak rakyat

Jangan lupa mengenai tarikh PRU-15, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan senada bahawa ia perlu dilewatkan sehingga habis penggal, membawa maksud mereka tahu bahawa UMNO-Barisan Nasional sedang kuat ketika ini dan mereka sendiri lemah dan semakin ditolak rakyat. Jika dilewatkan, mereka mengharapkan keajaiban untuk para pengundi atas pagar dan pengundi-pengundi kali kedua yang bereksperimen di PRU-14 lepas untuk mengundi mereka. Anak-anak muda yang akan mengundi buat kali pertama juga masih teragak-agak untuk mempercayai Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan selepas abang dan kakak mereka ditipu bulat-bulat sebelum ini. 

PAS sanggup ‘dilute’ perjuangan demi DAP-PH? 

Apakan daya, demi agenda bersama semata-mata untuk menumbangkan UMNO, bekerjasama dengan DAP pun sudah boleh ‘dihalalkan’. Hatta pemimpin-pemimpin PAS sendiri yang melaungkan slogan “demi ummah”, “demi Islam” selama ini juga sanggup membelakangkan akar umbi yang sangat membenci dan anti DAP-Pakatan Harapan. Kononnya mereka mengharapkan DAP yang ‘dilute‘ namun hakikatnya segelintir pemimpin PAS-lah yang sanggup ‘dilute‘ perjuangan Islam sendiri demi bersama DAP.

Perikatan Harapan – Anwar PM, Haji Hadi dan Mahiaddin TPM? 

Merujuk kepada sebuah portal yang menjelaskan gabungan ini akan digelar Perikatan Harapan serta menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Haji Hadi serta Mahiaddin berkongsi jawatan Timbalan Perdana Menteri, walaupun agak tidak logik kerana tidak mungkin Tun Mahathir yang di belakang Bersatu selama ini akan setuju. Apapun, rujuk sahaja berita tersebut di pautan;

Selain itu, jangan lupa di mana selama ini PAS hanya berkata “No DAP” namun tidak menyebut pula “No Anwar-PKR“. Dalam masa yang sama wujud pula dokumen PASleak yang sehingga kini tidak dinafikan, yang menyebut kemungkinan PAS bekerjasama dengan DAP. Namun jika melihat sikap PAS sejak dahulu dengan dalil-dalilnya yang selalu berubah-ubah, tidak mustahil kerjasama ini akan dijayakan. 

Slogan rakyat “No DAP-PH, No Bersatu-PN” tetap konsisten

Justeru, mana-mana pemimpin yang tersalah langkah cuba bersama khemah besar PN-DAP-PH tidak mungkin boleh berundur lagi kerana rakyat yang serik di bawah Pakatan Harapan selama 22 bulan dan 19 bulan di bawah Perikatan Nasional pasti akan kebumikan mereka yang rakus ini. Tidak kiralah sama ada beliau Menteri atau Perdana Menteri sekalipun tetap akan ditolak jika bersama DAP-Pakatan Harapan atau Bersatu-Perikatan Nasional. 

Mereka boleh menjadi lalang dan pengkhianat parti tetapi rakyat tetap konsisten dengan slogan “No DAP, No Anwar,” serta “No Bersatu-Perikatan Nasional”. Sebesar manapun khemah besar mereka pasti akan dikuncupkan rakyat kelak.

Kesimpulan

Bersedia sahajalah kerana usaha memastikan UMNO tidak kembali menjadi kerajaan yang dibantu oleh pensabotaj dalaman ini dijangka berterusan sehingga malam terakhir PRU-15 kelak. Apapun, laksanalah usaha yang terbaik dan kemudian bertawakallah kepada Allah.

Sesungguhnya Allah Taala jualah sebaik-baik Perancang. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts