Mutakhir ini pengundi-pengundi di Johor terutamanya generasi kedua Felda mula membuka mulut mengenai salah satu janji manifesto yang dibuat pada awal Mac lepas.
Setelah hampir genap lima bulan UMNO-Barisan Nasional menang di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ketidakpuasan hati itu mula disuarakan. Apa tidaknya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri turut mengulangi hasrat yang sama beberapa hari sebelum PRN Johor dilangsungkan namun sehingga kini warga Felda masih resah memikirkan bilakah perumahan generasi kedua yang terbengkalai sejak sekian lama itu akan diteruskan.
Rujuk pautan; https://www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/191887
Walaupun Ismail berkata kerajaan akan menyelesaikan isu perumahan generasi kedua Felda di Johor menerusi konsep baharu yang dilaksanakan melalui penjualan lot rumah kepada kumpulan tersebut dan bukan lagi dengan menjual rumah yang siap seperti sebelum ini, warga Felda di Johor mahu ia segera dilaksanakan.
Dalam isu ini, salah seorang pengundi muda dari Felda Ulu Penggeli juga telah melahirkan kekecawaan secara terbuka terhadap isu dan janji-janji ini. Beliau berharap agar ada usaha yang prograsif perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat, Felda dan Kerajaan Negeri.
Walaupun tentunya wujud kompleksiti berkaitan pelaksanaan yang sudah terlalu lama dihentikan, yang dirumitkan apabila kerajaan Barisan Nasional tumbang, namun janji wajib dikotakan. Cukuplah dengan sejarah tumbangnya Pakatan Harapan hanya setelah 22 bulan memerintah kerana dibenci pengundi-pengundi apabila gagal menunaikan manifesto sendiri, Perdana Menteri dan UMNO tidak boleh memandang ringan perkara ini.
Pakatan Harapan akan cuba mencari jalan termasuk memburuk-burukkan Perdana Menteri serta partinya UMNO dan dengan kehadiran “bola tanggung” ini tentunya ia menyukarkan mereka berkhidmat demi rakyat. Walaupun hakikatnya kerajaan tetap cuba melaksanakannya di sebalik gangguan Pakatan Harapan, tetapi ia perlu disegerakan.
PRU-15 semakin hampir, UMNO-Barisan Nasional perlu bersedia sebaik mungkin dan sebarang masalah seperti ini perlulah ditangani dengan sebaik mungkin. Jangan berikan ‘peluru’ kepada musuh yang kelak akan digunakan kembali untuk ‘menembak’ UMNO. Cukuplah hanya dengan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional yang dikenali rakyat sebagai kerajaan gagal, UMNO-Barisan Nasional perlu buktikan apa yang telah dijanjikan.