SURAT PEMBACA | Kebelakangan ini ucapan Tok Leman Ketua Menteri Melaka tidak lagi menyengat. Tok Leman macam kurang idea mahu tonjolkan benda-benda baru dalam ucapan. Asyik benda yang sama diulang-ulang. Ucapanpun senada sahaja, tiada apa yang menarik jika hendak didengar dari seorang Ketua Menteri.
Tentunya ini berkait rapat dengan tugas Setiausaha Akhbar (SUA) yang menyediakan teks ucapan beliau. Seorang SUA perlu bijak mengatur teks ucapan berdasarkan majlis dan situasi. Malangnya ini tidak berlaku kepada Tok Leman. Ucapan-ucapan beliau sangat membosankan.
Contoh paling ketara, di dalam suatu majlis rasmi dengan SPRM, Ketua Menteri tidak menyentuh isu pokok seperti indeks rasuah, perancangan beliau memerangi rasuah dan perkara berkaitan dengannya. Ini penting bagi mewujudkan pemikiran seorang Ketua Menteri yang berpandangan jauh dan berwawasan.
Yang disentuh hanyalah integriti, amanah dan lain-lain. Ucapan sebegini sudah banyak kali kita dengar dari pemimpin lain. Bahkan ada ada beberapa pemimpin lain yang bukan bertaraf Ketua Menteri boleh memberi ucapan seribu kali lebih baik dari Tok Leman dalam bab integriti dan amanah!
Jika di awal beliau menjadi Ketua Menteri dahulu masyarakat mungkin terpesona dengan penampilannya, namun kini tidak lagi. Ayat serta lenggok bahasanya masih sama dari tahun 2020. Ramai yang berharap setelah mendapat mandat penuh pada November 2021, keadaan akan segera berubah.
Malangnya sehingga kini, menghampiri setahun mandat penuh, keadaan semakin parah. Siapakah yang bertanggungjawab menyediakan teks ucapan Tok Leman? Jika SUA Tok Leman, beliau amatlah tidak kompeten berdasarkan prestasi semasa ucapan-ucapan Tok Leman.
Beliau buat apa di pejabat Ketua Menteri? Takkan langsung tidak peka dengan perkara macam ini? Atau beliau ini jenis yang syok sendiri? Perasan semua orang kagum dengan ketua sendiri walhal orang sebenarnya bosan.
Sayang jika dalam ucapan-ucapan Tok Leman, tidak ditonjolkan pemikiran beliau. Kesempatan ini tidak diguna sepenuhnya untuk ‘polish‘ imej Tok Leman. Jika imej beliau selaku Ketua Menteri malap, imej kerajaan negeri dan UMNO akan turut terpalit. Membazir masa jika ada SUA dan pegawai yang tidak dapat menaikkan imej ketua.
Kepada Tok Leman, ambil tahu keadaan sekeliling. Maklum balas sebenar dari sesuatu isu adalah orang luar, bukan pegawai sendiri. Yang lebih penting, keupayaan kita sendiri memandu dan menentukan arah ketokohan kita.
Sayang jika mandat baru yang dapat ini dipersiakan lalu longlai akibat kelemahan kita sendiri, bukan dengan kekuatan lawan.
Pekerja Kontrak
Seri Negeri, Melaka