Isu status hak milik tanah 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu di Perak, yang dibangkitkan oleh dua exco kerajaan negeri sebelum ini iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Dr. Abdul Aziz Bari, dianggap selesai apabila DAP hari ini menafikan memberi tekanan kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berhubung perkara tersebut.
Isu tersebut dibangkitkan oleh mereka berdua seolah-olah telah rasmi menjadi ‘orang suruhan’ DAP dalam menyampaikan apa jua perkara yang menguntungkan DAP di mana sememangnya DAP cukup licik selama ini dalam memanipulasi orang Melayu sebagai ‘barua’ mereka untuk mencapai matlamat.
Jika tidak dibangkitkan oleh mereka, tentu Menteri Besar Perak mempu memberi tumpuan membangunkan negeri dan bukannya terpaksa membuang masa melayan desakan-desakan yang hanya menguntungkan DAP yang selama ini terkenal asyik memperjuangkan kaum Cina sahaja dan menggunakan orang Melayu sekutu mereka untuk ‘melembutkan hati’ orang Melayu yang lain.
Namun, di sebalik kemelut tersebut, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, parti itu mempunyai hubungan mesra dengan Ahmad Faizal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain saling menghormati dan sentiasa bekerja sebagai satu pasukan.
“DAP Perak akan berdiri teguh bersama Menteri Besar dan memberi sokongan padu kepada kepemimpinan beliau supaya Pakatan Harapan (PH) membawa kesejahteraan hidup serta pembangunan ekonomi pesat kepada seluruh rakyat Perak.”
Pendirian Kor Ming itu melegakan semua pihak dan sekali gus memberi gambaran isu pemilikan tanah tersebut yang dibangkitkan oleh Nizar dan Aziz Bari selesai sekali gus mengelakkan Perak terjerumus dalam krisis politik sekali lagi.
Kor Ming menyatakan demikian bagi mengulas laporan Mingguan Malaysia dan media-media lain hari ini yang menyatakan DAP tetap berkeras menuntut kerajaan negeri meluluskan status hak pemilikan tanah 999 tahun atau hak milik kekal.
Sambil melahirkan rasa kesal dengan laporan media itu, beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memberitahu tidak pernah membangkitkan isu hak milik kekal tersebut ketika sidang akhbar semalam dan hanya menyatakan PH komited untuk melaksanakan semua janji dalam manifesto.