Isu ini dibangkitkan secara meluas dalam perbincangan maya rakyat kebelakangan ini terutama dalam kalangan akar umbi UMNO sendiri. Majoriti mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mendedahkan segera isu kandungan perjanjian tersebut tanpa mengeditnya seperti yang dilakukan sebelum ini oleh Perikatan Nasional.
Ismail Sabri tidak perlu gusar jika perjanjian itu berat sebelah sekalipun kerana semua pihakpun tahu bagaimana tidak rasionalnya Tan Sri Mahiaddin dan Perikatan Nasional yang pernah sehingga menyanggah dan mempermainkan titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong demi untuk kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri. Jika mereka menarik sokongan sekalipun, Ismail Sabri tidak akan rugi apa-apa. Lagipun tentu Perikatan Nasional tidak berani menarik sokongan yang hanya akan mempercepatkan pembubaran Parlimen.
Desakan rakyat dan akar umbi ini sangat wajar untuk diperhalusi oleh semua pihak termasuklah pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO kerana ia melibatkan satu perjanjian yang amat penting melibatkan masa depan negara. Kenapa ia dikatakan sebegitu penting adalah kerana rakyat ingin tahu adakah dalam perjanjian tersebut melibatkan perjanjian sulit dan campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri keenam Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain – sama seperti dokumen PASleak sebelum ini.
Walaupun kandungan asal perjanjian ini telah disorok sebaik mungkin agar ia tidak dibocorkan namun hakikatnya Ismail Sabri tahu dan beliau boleh didesak untuk mendedahkannya. Pemimpin UMNO wajar mendesak perkara yang sama ke atas beliau sebelum menyerahkan watikah agar prasangka dan persepsi rakyat dapat dipulihkan. Dalam masa yang sama, imej beliau juga akan kembali bersih dan layak menjadi ‘poster boy‘ UMNO jika kembali akur dengan ketetapan parti dan akar umbi.
Jika tidak berani atau beralasan mendedahkannya, tentu ada sesuatu dalam kandungan penjanjian tersebut yang membuatkan semua pihak kini ketakutan jika ia dibocorkan. Tindakan disiplin juga boleh dikenakan jika masih tidak mahu mendedahkan perjanjian dalam tempoh yang diberikan.
Jika tidak bersalah atau tiada apa yang hendak ditakutkan, bagi membuktikan kejujuran sila dedahkan perjanjian tersebut dengan kadar segera atau buat sumpah laknat sama seperti Najib lakukan.
Persoalannya, beranikah Ismail Sabri?