Eksperimen menukar kerajaan
Walau apapun naratif dan propaganda Pakatan Harapan mainkan sehingga malam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak, sama ada ‘membongkar’ rasuah dan skandal pemimpin-pemimpin lawan, risiko pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong tegar mereka ditipu sekali lagi amatlah cerah.
Apatah lagi bagi pengundi-pengundi kali pertama pada 2018 yang akan menjadi pengundi kali kedua di PRU-15 serta pengundi-pengundi “atas pagar” yang kedua-duanya bereksperimen mahu menukar kerajaan ketika itu, tentu mereka akan kecewa sekali lagi jika masih mahu meneruskan ‘eksperimen’.
Bukti kegagalan 22 bulan
Lihatlah bukti selama 22 bulan Pakatan Harapan berkuasa, manifesto mudah seperti menghapuskan tol dan hutang PTPTN pun tidak terbuat oleh mereka, dek kerana tidak berpengalaman memerintah kerana hanya pandai cakap dan berpolitik 24 jam.
Malah cytro kaki fitnah mereka iaitu Read Bean Army (RBA) sendiri ‘mati akal’ mahu menangkis serangan netizen yang marahkan mereka kerana ditipu bukan sekali malah berkali-kali termasuk sindiran “rakyat kena ikat perut” dan “jangan dengki dengan orang kaya”.
Raja Kroni dan Kleptokrat sebenar
Daripada perasaan marah kerana “ditipu hidup-hidup” meledak kepada perasaan benci kepada Pakatan Harapan kerana setelah tumbangpun masih mahu menipu dengan pelbagai fitnah dan tohmahan ke atas pihak lawan. Sehinggalah ke pemenjaraan bekas Perdana Menteri keenam Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sekalipun, bagi mereka ini hanyalah ‘wayang’ Pakatan Harapan kerana Raja Kroni dan Kleptokrat sebenar bagi mereka ialah Tun Mahathir.
Dosa-dosa 22 tahun disucikan?
Beliaulah yang telah merosakkan negara selama 22 tahun, bukan sedikit buku ditulis oleh idola mereka Lim Kit Siang daripada skandal Forex dan PKFZ sehinggalah kepada skandal BMF dan Perwaja Steel. Bukan setakat RM2.6 bilion yang hilang tetapi melibatkan ratusan bilion ringgit, apatah lagi jika jumlah kerugian tersebut dinilai dengan kadar semasa pada hari ini.
Bagi penyokong-penyokong dan pengundi-pengundi Pakatan Harapan, mereka bukan bodoh kerana apabila bersama seketika pada PRU-14, tidak mungkin dosa-dosa lama 22 tahun Tun Mahathir yang terkandung dalam buku Lim Kit Siang ini dapat disucikan hanya dalam masa 22 bulan. Malah bapa Lim Guan Eng itu tidak pernahpun menarik kembali buku-buku tersebut dan meminta maaf kepada Mahathir.
Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu juga tidak berani menyaman Lim Kit Siang dan memohon perintah mahkamah untuk beliau menarik balik apa yang pernah didedahnya dalam buku-buku tersebut. Jika benar-benar Mahathir ‘suci’ tentu kedua mereka sudah mencapai kata sepakat agar buku-buku tersebut dipadamkan daripada lipatan sejarah.
Mahathir dan Mahiaddin pengkhianat Pakatan Harapan
Lebih teruk, bagi penyokong-penyokong dan pengundi-pengundi Pakatan Harapan, Tun Mahathir dan Bersatulah yang membuatkan kerajaan kesayangan mereka tumbang. Oleh kerana itulah mereka amat membenci dua susuk tubuh yang bernama Mahathir dan Mahiaddin. Malah rancangan Khemah Besar bersama Perikatan Nasional itu juga akan ditentang habis-habisan. Walaupun segelintir pemimpin Pakatan Harapan bersetuju untuk bersama Perikatan Nasional selepas PRU-15 bagi membentuk kerajaan, akar umbi dan pengundi-pengundi mereka berasa dikhianati jika Mahathir dan Mahiaddin ini masih diterima.
Ismail Sabri dibenci sama
Malah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini dilihat ‘mesra’ Perikatan Nasional dan mempunyai perjanjian sulit dengan mereka juga akan terpalit dengan kebencian dan dendam yang sama – sehingga tidak mungkin ada ruang buat Ismail Sabri dalam politik selepas ini jika beliau memilih bersama Perikatan Nasional, kerana ketika itu UMNO juga tentu menolaknya.
Rujuk artikel “Ismail Sabri bakal jadi Perdana Menteri paling dibenci?” di pautan; https://editormalaysia.com/26418/
Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional bergabung selepas PRU-15
Justeru, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dilihat sangat berhati-hati dalam hal ini kerana risau pengundi-pengundi kali pertama dan pengundi-pengundi atas pagar yang mengundi mereka sebelum ini akan membalas dendam dan tidak mengundi Mahathir dan GTA serta Mahiaddin dan Perikatan Nasional sekiranya bekerjasama sebelum PRU-15. Malah penyokong-penyokong mereka sudahpun memberi signal jelas menolak pengkhianat-pengkhianat Pakatan Harapan.
Tetapi selepas PRU-15 kelak, demi matlamat menumbangkan UMNO, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sudahpun bersedia untuk bergabung dan masing-masing sudahpun memperincikan syarat-syarat yang dikehendaki, sama seperti ketika PRU-14 sebelum ini.
Kesimpulannya, pengundi-pengundi muda dan penyokong-penyokong Pakatan Harapan akan tertipu sekali lagi selepas PRU-15, melainkan daripada awal mereka sudah bertekad untuk tidak lagi memangkah Pakatan Harapan.
Jika tidak, kebodohan yang sama akan diulangi dan negarapun akan dimusnahkan sekali lagi.