Seminggu dua kebelakangan ini negara digemparkan dengan dakwaan sebuah pertubuhan yang menggunakan nama ‘madrasah’, mendera pelatih-pelatihnya yang dihantar oleh ahli keluarga masing-masing untuk mendapatkan rawatan pemulihan. Antaranya individu yang menghadapi masalah ketagihan dadah dan bermasalah, namun penderaan yang dilalui mereka amatlah tidak masuk akal dan wajar disiasat.
Seperti pandangan beberapa peguam, isu ini bukan isu agama kerana tempat pemulihan tersebut bukan sebuah madrasah seperti yang disangka oleh banyak pihak, malah wujud pengakuan wakilnya yang mengakui mereka bukanlah madrasah. Tetapi apabila ramai memanggil tempatnya sebagai madrasah, maka terma tersebut digunakan.
Yang menjadi isu ialah mengenai ‘rawatan’ yang dijalankan ke atas peserta-peserta atau pelatih-pelatihnya dengan cara yang didakwa sebagai mendera secara mental dan fizikal sehingga ada yang trauma sekembalinya daripada tempat tersebut.
Jika tidak benar dakwaan mendera ini, kenapa perlu wujud klausa ketujuh perjanjian antara keluarga dan pihak tempat pemulihan yang meminta ahli keluarga agar tidak menuntut atau mendakwa sekiranya berlaku mudarat ke atas anak mereka yang dirawat di sana termasuklah jika melibatkan kematian?
Bukankah ini amat mencurigakan? Belum pernah berlaku hatta di penjara sekalipun yang meminta ahli keluarga menandatangani perjanjian jika berlaku kematian terhadap ahli keluarga yang ditahan. Perlu disiasat, sudah berapa ramaikah yang didera atau disiksa atas nama ‘pemulihan’, sehingga melibatkan kecederaan serius dan kematian?
Selain itu, timbul persoalan bagaimanakah tempat sebegini boleh dibenarkan beroperasi sejak sekian lama, di mana wakilnya sendiri akui mereka telah beroperasi selama 20 tahun tanpa berdaftar dengan mana-mana pihak sama ada di bawah Majlis Agama Islam Selangor selaku madrasah dan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana beroperasi sebagai tempat pemulihan.
Masalah lain yang timbul ialah, tempat tersebut juga dilihat terlalu ‘kebal’ seolah-olah ada pihak tertentu yang melindungi mereka sehingga ke pihak berkuasa sendiri yang tidakpun melakukan serbuan apabila mendapat laporan daripada ahli keluarga mengenai penderaan tersebut. Lebih teruk, mangsa yang terlibat dan pengadu, termasuk pihak yang membantu mereka pula disaman oleh pihak tertentu, kononnya kerana membuat fitnah.
Jika benar ia hanya tohmahan dan fitnah, maka adalah lebih baik pihak NGO yang dilihat cuba melindunginya membiarkan polis membuat siasatan sepenuhnya tanpa sebarang ‘gangguan’ tindakan saman terhadap mangsa dan keluarga serta mereka yang membantu mendedahkannya. Sepatutnya mereka mengalu-alukan sebarang siasatan dan berhujahlah di mahkamah kelak kerana beban pembuktian adalah di bahu pihak yang menuduh. Mereka tidak perlu panik awal dan membuat kenyataan media dengan penuh emosional.
Sebagai rekod, kini sudah terlalu ramai tampil mendedahkan kisah mereka didera di tempat tersebut selain daripada cadangan beberapa pihak agar mangsa dan pengadu dilindungi sepenuhnya sehinggalah kes ini dihadapkan ke mahkamah, agar tidak berlakunya intimidasi ke atas mereka melalui tindakan saman.
Majlis agama, AADK, NGO, pemimpin-pemimpin serta seluruh rakyat Malaysia perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk memastikan perkara ini dibawa ke muka pengadilan kerana di situlah kelak boleh dibuktikan sama ada tempat pemulihan itu benar-benar difitnah ataupun tidak. Atau hakikatnya memang berlaku penderaan di sana termasuk insiden meliwat yang telahpun dilaporkan.
Tidak perlu takut berdepan dengan pendakwaan di mahkamah, jika tiada apa yang mahu disorokkan.