HILANG KEPERCAYAAN SEBAGAI PERDANA MENTERI, ISMAIL SABRI WAJAR LETAK JAWATAN ATAU MOHON BUBAR PARLIMEN

353
SHARES
2.1k
VIEWS

Maaf. Tetapi bagi saya tindakan 12 Menteri Perikatan Nasional menghantar surat kepada YDP Agong menolak rancangan Perdana Menteri membubarkan Parlimen adalah kesilapan besar. Malah ia boleh menjadi sebab yang mempercepatkan pilihan raya. 

Kita adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem Westminster. Yang mengamalkan prinsip “Collective Ministrial Responsibility“. Dalam sistem ini, semua menteri wajib mendokong keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat kabinet walaupun mereka tidak setuju. Jika tidak, maka menjadi tanggungjawab menteri terlibat untuk meletak jawatan. 

Sistem ini sebenarnya meletakkan kabinet secara bersama dalam satu tindakan. Sebab itu jika Perdana Menteri meletak jawatan, secara umumnya semua menteri akan terlucut daripada jawatan mereka. Ini berlaku pada Februari 2020 apabila Tun Mahathir meletak jawatan. 

Konsep ini diamalkan di UK yang melahirkan sistem Westminster. Saya beri contoh Theresa May. Theresa adalah Perdana Menteri United Kingdom daripada parti Konservatif. Tetapi partinya bukan majoriti dan terpaksa bergantung kepada sokongan sebuah parti pembangkang (Democratic Unionist Party) untuk menjadi kerajaan minoriti.

Theresa May telah banyak kali kalah dalam undian di Parlimen, termasuk 3 kali kalah dalam undian proposal Brexit. Tetapi beliau masih kekal sebagai Perdana Menteri sebab kekalahan usul tidak bermakna hilang kepercayaan Parlimen. Namun, apabila beliau hendak membentang proposal Brexit buat kali ke-4, ia telah ditolak dan ditentang oleh sebahagian menteri-menterinya sendiri secara terbuka di media. 

Tindakan menteri-menterinya ini telah mencabuli konsep Collective Ministrial Responsibility. Ini adalah antara sebab utama Theresa May meletakkan jawatan Perdana Menteri selepas itu. Julian Richard Smith, Ketua Whip kerajaan dalam Parlimen ketika mengulas perkara ini mengatakan, “Ini adalah kabinet paling tidak mempunyai disiplin dalam sejarah UK“. 

Jadi pandangan saya, Perdana Menteri DS Ismail Sabri cuma ada dua pilihan. Letak jawatan atau mohon pembubaran Parlimen. Itu sahaja.

Sebab secara moralnya, beliau sudah hilang kepercayaan sebagai Perdana Menteri. 

Oleh Abdul Rahim Hilmi Zakariya

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts