Banyak pihak mengandaikan bahawa nasib Perikatan Nasional kini berada di hujung tanduk berikutan parti PAS menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan dan turut tidak setuju Tan Sri Mahiaddin Yassin yang mengumumkan UMNO sebagai musuh utamanya.
Walaupun pendirian PAS sendiri turut diragui oleh banyak pihak berikutan kerap mengeluarkan ‘dalil-dalil’ tertentu termasuk menggunakan ayat Al-Quran dan hadis bagi menjustifikasi pelbagai tindakannya yang tidak masuk akal – malah sanggup menyanggah titah YDP Agong yang memperkenan Sidang Parlimen diadakan sebelum ini.
Apatah lagi apabila Bersatu dilihat pengkhianat yang pasti akan dihukum oleh ahli-ahli dan akar umbi Pakatan Harapan yang kini menunggu masa sahaja untuk membalas dendam kepada Mahiaddin dan Bersatu – membuatkan pilihan mereka semakin kecil dan bergantung harap kepada PAS.
Sungguhpun begitu, nasib “pemimpin-pemimpin katak” mereka yang diketuai oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilihat jauh lebih malang melainkan wujud perjanjian sulit antara Bersatu dan PAS yang akan mengarahkan ahli-ahli mereka agar wala’ dan mengundi pemimpin-pemimpin yang telah ditolak rakyat ini.
Apapun, nasib Perikatan Nasional kini dilihat berada di ‘tangan’ PAS yang belum tentu lagi bergaduh di depan, tidak berpeluk di belakang. Dalam politik, usahkan rakan sesama rakanpun sanggup ditikam belakang walaupun kononnya mahu Muafakat Nasional, malah agamapun boleh digunakan sesuka hati sesuai dengan pendirian parti yang berubah-ubah.