Setelah dikecam teruk barulah Ketua Pemuda PAS Sik Shahiful Nasir memohon maaf susulan memberi amaran kepada pengundi-pengundi bahawa mereka akan masuk api neraka jika memilih Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH), berbanding Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.
Selaku pemimpin muda PAS yang kononnya memperjuangkan Islam, perkara asas dan mudah mengenai agama ini tidak sepatutnya beliau tersilap cakap. Bahkan beliau sepatutnya boleh sahaja merujuk alim ulama sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang bertentangan dengan agama. Inilah bukti betapa tegarnya pemimpin-pemimpin PAS yang sanggup ‘berdalil’ menggunakan akal sendiri berbanding merujuk kepada Al-Quran dan hadis.
Bukan asing lagi bagi segelintir pemimpin-pemimpin ‘toksik’ PAS yang perasan ‘ahli syurga’ ini untuk memanipulasi dan memberi kefahaman salah kepada rakyat terutama penyokong-penyokong tegarnya, termasuklah dalam isu Amanat Haji Hadi yang telahpun difatwakan sesat. Dalam politik, apa sahaja ‘halal’ dan dibolehkan bagi PAS tetapi ‘haram’ dan tidak boleh bagi pihak lain. Bertepatan dengan istilah yang selalu disindir oleh netizen iaitu, “walhalalku, walharammu” – kalau PAS automatik yang sepatutnya ‘haram’ akan menjadi halal.
Contohnya kerjasama dengan DAP adalah halal dan dibolehkan jika ia melibatkan PAS tetapi bagi pihak lain ia diharamkan. Pelbagai alasan akan diberi untuk menjustifikasi tindakan salah mereka termasuklah memainkan isu ‘syurga neraka’ dan mengkafirkan orang lain yang tidak bersetuju dengan mereka. Lebih malang, walaupun akan meminta maaf, pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong tegar PAS akan percaya apa sahaja yang dikatakan pemimpin-pemimpinnya.
Inilah kerosakan yang berlaku sejak dahulu dan menjadi masalah utama dalam PAS, iaitu suka mempermainkan agama demi nafsu serakah politik, hatta syurga neraka dan dosa pahalapun tidak malu ‘dicuitnya’ seolah-olah mereka ini maksum. Pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong tegarnya seperti biasa akan terus percaya walaupun dalam kalangan mereka bukan semuanya bodoh tetapi itulah yang telah didoktrinkan sejak sekian lama sehingga sebati.
Bagi PAS, seolah-olah parti itulah agama dan kerana itulah naratif “jika tidak mengundi PAS maka berdosa dan masuk neraka” masih popular dan dipercayai penyokong-penyokong dan pengundi-pengundi tegar mereka. Hakikatnya politik PAS mempergunakan agama ini melibatkan akidah dan iman, jika masih ada pemimpin-pemimpin toksik mereka yang menggunakan naratif ini dan orang-orang PAS masih percaya, lebih baik mereka mengucap dua kalimah syahadah kembali dan bertaubat nasuha. Ini kerana sejak sekian lama mereka masih gagal memahami mana satu parti politik dan mana satu agama.
Justeru, wahai pemimpin-pemimpin toksik PAS, cukup-cukuplah memecahbelahkan ummah dan mengelirukan rakyat dengan kenyataan yang bertentangan dengan agama. Ingatlah dengan mafhum hadis iaitu walaupun dengan hanya satu perkataan yang membuatkan Allah Taala murka, akan membuatkan anda terhumban ke dalam neraka.
Wallahualam.