SURAT PEMBACA | Saya meneliti laporan beberapa media arus perdana, Facebook dan juga portal tertentu yang ditularkan sejak minggu lepas mengenai isu pemberhentian pegawai-pegawai kontrak bergaji harian dan bulanan di Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
Sebagai bekas penjawat awam yang banyak bekerja bersama-sama dengan pegawai-pegawai kontrak di beberapa kementerian sebelum ini, saya terpanggil untuk tampil memberikan pandangan terhadap kemelut yang berlaku di LHDN. Isu ini jelas memerlukan satu penyelesaian yang kolektif serta sedikit kebijaksanaan di pihak LHDN dan kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan segera dan tidak lagi berulang.
Tidak dinafikan, pegawai-pegawai kontrak ini selalu keliru dengan arahan pemberhentian masing-masing di mana arahan sambungan selalunya akan diberikan. Ini menyebabkan mereka ini serba-salah untuk mencari pekerjaan lain kerana tidak pasti sama ada kali ini kontrak mereka benar-benar akan ditamatkan atau masih ada harapan untuk disambungkan seperti yang selalu berlaku. Oleh kerana itulah mereka yang selama ini setia berkhidmat selama belasan tahun dan akhirnya dihentikan begitu sahaja walaupun hakikatnya itulah nasib pegawai bertaraf kontrak, yang diberi tugas mengikut project basis dan keperluan semasa di mana-mana jabatan, tetapi sesuatu tetap perlu dilakukan demi kebajikan mereka.
Selain itu, saya juga terkejut apabila membaca kenyataan media LHDN, saya dapati pemberhentian ini rupa-rupanya dilakukan secara ‘massal’ dan serentak. Sekitar lebih 1000 pekerja kontrak harian dan bulanan dijangka akan terkesan dan mula menganggur pada 1 Januari 2023. Dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu tentu pemberhentian ini sesuatu yang menggusarkan. Memanglah mereka ini berstatus kontrak dan boleh dihentikan namun ketika ini dilihat sangat tidak sesuai dan usaha menempatkan mereka ke syarikat lain juga menyedihkan apabila hanya 59 orang berjaya ditempatkan.
Tambah menghairankan, perkara ini tetap mahu diteruskan tanpa dibawa berbincang terlebih dahulu dengan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan. Ini kerana fungsi dan peranan LHDN adalah tertakluk di bawah Kementerian Kewangan di mana YAB Perdana Menteri tentu mahu meneliti perkara ini terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan terhadap lebih 1000 pegawai-pegawai kontrak tersebut. Beliau yang lebih cakna dengan masalah rakyat terbawah sejak dahulu tentu lebih mudah untuk memahami kesukaran yang akan dilalui oleh pegawai-pegawai kontrak yang bakal kehilangan pekerjaan ini, berbanding pengurusan tertinggi LHDN yang bergaji besar dan ‘mewah’ dengan bonus tahunan masing-masing. Rakyat juga hendak tahu, adakah hujung tahun ini LHDN tetap memberikan bonus tahunan kepada kakitangan dan pengurusan tertinggi mereka? Bagi pegawai-pegawai kontrak pula, hadiah ‘bonus’ tahun baru yang akan diterima mereka kelak adalah arahan penamatan kontrak. Sungguh mengecewakan.
Kita perlu sedar, isu pemberhentian ini jauh mendasari masalah rakyat terbanyak, yang terkait rapat dengan isu kebajikan dan kemanusiaan, bukan sekadar naratif “namapun pegawai kontrak, nasiblah jika kontrak ditamatkan” di mana kita perlu bersikap adil walaupun pemberhentian ini tidak terkait dengan ahli keluarga kita. Jangan hanya melihat daripada sudut yang sempit kononnya mereka telah diberitahu awal atau kerana transformasi digital serta wujud bantuan melalui MYFutureJobs, malah berbangga dengan hanya 59 placement yang dibuat. Jika benar alasannya kerana transformasi digital, kenapakah ada pengambilan dilakukan yang melibatkan 785 pegawai lantikan baharu bagi jawatan eksekutif pelbagai bidang? Ini antara perkara yang perlu LHDN jelaskan kenapakah lantikan ini dibuat pada Jun 2022 sedangkan dalam masa yang sama pegawai-pegawai kontrak bergelut dengan isu penamatan kontrak. Tidak mungkin 785 pegawai lantikan baharu ini semuanya merupakan kakitangan IT yang berkaitan transformasi digital.
Dalam masa yang sama, saya juga sedih apabila beberapa media arus perdana dilihat berat sebelah dan gagal memahami masalah sebenar yang berlaku di LHDN. Mereka melaporkan berita hanya bersandarkan kenyataan media LHDN semata-mata tanpa mengulas sudut pandang nasib para pegawai kontrak yang akan dihentikan. Inilah isu sebenar yang sepatutnya diberikan perhatian, bukannya merujuk kepada alasan remeh-temeh yang hanya mahu menjustifikasikan tindakan mereka.
Malah, pemberhentian bersama-ramai ini hakikatnya merupakan satu aib besar buat pengurusan tertinggi LHDN yang gagal mencari solusi lebih baik dan dalam masa yang sama 785 pegawai lain pula dilantik. Dalam kenyataan media LHDN langsung tidak menyentuh perihal ini malah terdapat pandangan oleh netizen di Facebook yang dilihat ‘baik’ dengan CEO LHDN turut menuduh pegawai-pegawai kontrak ini sebagai bermasalah. Jika benar, di manakah bukti dan data yang menyokong tuduhan tersebut? Jangan asyik bercerita tentang ‘tabayyun‘ tetapi dalam masa yang sama diri sendiri bertindak menuduh tanpa usul periksa.
Saya juga pelik, adakah individu ini diminta oleh pengurusan tertinggi LHDN untuk menjadi ‘jurucakap’ mereka sedangkan tindakannya itu backlash terhadap LHDN apabila gagal menjawab persoalan yang ditimbulkan netizen. Untuk nampak ‘dipercayai’ dan mungkin kerana tidak mahu diketahui oleh pengurusan tertinggi LHDN, beliau bertindak memadam sesetengah pandangan dan menyekat akaun yang bertanyakan mengenai hubungan baiknya dengan CEO LHDN serta menimbulkan persoalan mengenai 785 lantikan baharu ini. Sungguh memualkan.
Saya melihat sendiri beberapa tangkap layar (screenshot) yang sempat dibuat dan diviralkan di media sosial. Dalam dunia media sosial, tindakan memadam atau block ini merupakan satu tindakan yang cuba dielakkan sepenuhnya oleh netizen yang berpengaruh dan mempunyai pengikut yang ramai bagi mengekalkan kredibiliti mereka. Malangnya pengurusan tertinggi LHDN mempercayai ‘jurucakap’ tersebut. Bukan rahsia lagi apabila sebelum itu individu tersebut bertemu CEO LHDN berkenaan satu projek NGO dan tidak lama kemudian beriya-iya ‘back up‘ tindakan pemberhentian tersebut. Sekali lagi saya tegaskan, cara ini sangat memualkan dan membuatkan LHDN lebih tidak dipercayai. Kenapa perlu takut jika tiada apa yang hendak disorokkan?
Selain itu, alasan LHDN kononnya pemberhentian ini sudah lama dirancang sejak 2018 hanya menimbulkan persoalan adakah arahan LHDN ini terikat dengan perintah mahkamah dan tidak boleh diubah? Bukankah lebih baik jika arahan pemberhentian ini ditangguhkan sementara sehingga semuanya selesai diberikan penempatan pekerjaan ke lain-lain unit atau agensi termasuk syarikat swasta mengikut pengalaman dan kemahiran masing-masing.
Saya juga tertanya-tanya, di sebalik alasan LHDN ada membantu pegawai-pegawai ini mencari kerja, adakah LHDN mempunyai mekanisme untuk mengetahui breakdown mereka yang telah berhasil memperoleh pekerjaan daripada sejumlah 1000 pegawai-pegawai kontrak mereka yang akan dihentikan kelak? Atau traces study seperti di universiti awam yang dipantau penuh Kementerian Pengajian Tinggi bagi membolehkan mereka mengetahui data lengkap apa yang terjadi kepada graduan mereka sebaik sahaja tamat pengajian. Jika ada, data ini yang perlu dipersembahkan kepada Perdana Menteri kelak.
Selain itu, saya juga amat bersetuju dengan pandangan Setiausaha Agung MTUC iaitu saudara Kamarul Baharin yang menyelar tindakan LHDN ini yang dilihat sangat tidak adil terhadap kumpulan pegawai-pegawai kontrak terbabit. Menurutnya, MTUC akan bertemu Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkara tersebut sekaligus cuba menyelesaikan masalah yang telah berlaku sejak sekian dahulu tetapi masih tidak diselesaikan sehingga kini. Banyak pihak melihat, melalui campur tangan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, maka kemelut yang berlanjutan ini mampu diselesaikan.
Justeru usaha bertemu Perdana Menteri ini amat dialu-alukan bagi mencari jalan tengah untuk menyelesaikan masalah pegawai-pegawai kontrak yang akan diberhentikan. Saya juga ingin memberi cadangan agar pertemuan MTUC tersebut turut disertai oleh pengurusan tertinggi LHDN agar keputusan terbaik dapat dicapai untuk manfaat semua pihak, tanpa berlepas tangan terhadap pegawai-pegawai kontrak. Mungkin cadangan disambung kontrak mereka sehingga 31 Disember 2023 dan dalam masa setahun ini pihak LHDN perlu menyediakan traces study mereka sendiri dan berusaha menempatkan pegawai-pegawai ini ke unit atau agensi lain bersesuaian dengan pengalaman dan kemahiran mereka.
Ia juga perlu menjadi KPI bagi setiap CEO LHDN dan juga GLC, GLIC dan badan berkanun lain kerana dengan pelbagai sumber yang ada, tentu tidak menjadi masalah buat mereka untuk menyelesaikan isu ini. Malah menjadi satu keaiban besar buat LHDN jika perkara ini tidak mampu diselesaikan tanpa melibatkan pemberhentian yang tidak wajar dan tidak kena pada masanya ini. Seperti kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Apapun, rakyat lebih mahu mendengar apa kata Perdana Menteri dalam isu ini dan diharapkan beliau dapat membantu para pegawai yang bakal kehilangan pekerjaan ini jika LHDN sendiri sudah memilih untuk berlepas tangan.
Abdul Rahim Hasaan
Pesara kerajaan