PERDANA MENTERI DIGESA SEGERA ‘BERSIHKAN’ MEIO

677
SHARES
4k
VIEWS

Sejak Barisan Nasional ditumbangkan dan negara diterajui oleh Tun Mahathir Mohamad pada 2018, selain parti UMNO, bukan rahsia lagi Bahagian Penyelidikan atau nama rasminya Malaysian External Intelligence Organization (MEIO) turut ingin dibubarkan. 

Badan risikan ini pernah dituduh dan diaibkan oleh pasukan pro Tun Mahathir sebagai menjadi ‘alat’ kepada UMNO dan Dato Sri Mohd Najib Tun Razak sedangkan hakikatnya sejak tahun 1960an lagi agensi ini berkhidmat terus kepada mana-mana Perdana Menteri atas isu keselamatan negara dan keganasan rentas sempadan. Namapun “agensi risikan luar negara” maka sudah tentu ia tidak mencampuri urusan menentukan siapa menerajui negara ataupun mencorakkan politiknya, seperti yang selalu difitnahkan. 

Dalam bahasa lainnya dalam komuniti operatif atau aset risikan (humint) ialah tidak mencampuri urusan domestik atau dalaman negara, di mana sememangnya tiada tugasan rasmi yang pernah diberikan sesuai dengan fungsi dan peranan asal MEIO ditubuhkan. Jika ada sekalipun, ia hanyalah berkaitan dengan analisis ‘menang-kalah’ dalam Pilihan Raya Umum (PRU) seperti yang biasa dikeluarkan oleh pelbagai agensi penyelidikan lain di seluruh dunia.

Malah, Perdana Menteri yang baru dilantik iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim tentu lebih memahami fungsi dan peranan asal MEIO ini kerana beliau sendiri pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Mahathir sebelum ini. Selepas MEIO diaibkan di zaman Tun Mahathir, berbanding Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri yang gagal ‘membersihkan’ MEIO, kini beban pembersihan ini tergalas di bahu Dato’ Seri Anwar. Diharapkan beliau menjadi Perdana Menteri yang mampu mengangkat kembali martabat MEIO selepas dirosakkan oleh beberapa rogue officer yang penuh dengan agenda peribadi dan dendam kesumat. 

Selain itu, MEIO juga tidak pernah terkait dengan sebarang operasi dalam negara dan pegawai-pegawai dalam kalangan Pegawai Tadbir & Diplomatik (PTD) di agensi tersebut juga tidak dibenarkan terlibat dengan apa jua kewujudan jentera politik tetapi apa yang berlaku sebelum PRU-15 ialah buat pertama kalinya dua war room PRU-15 diwujudkan oleh MEIO.

Apa yang lebih mengejutkan, ia bukan dibuat untuk membantu Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob tetapi war room ini mempunyai ‘Perdana Menteri’ lain iaitu Mahiaddin. Insiden ini pernah didedahkan sebelum ini sehingga menimbulkan kemarahan dan menakutkan individu terlibat yang risau jawatannya tidak disambung selepas PRU-15. Ini yang mengejutkan agensi risikan dan komunitinya, malah dalam kalangan MEIO sendiri ramai yang tidak berpuas hati apabila ia dijadikan alat oleh pihak lain dan bukannya berurusan secara terus dengan Perdana Menteri dalam urusan keselamatan negara.

Rujuk artikel, “War room Mahiaddin-Agensi risikan JPM beroperasi di bawah Mahiaddin?” di pautan; https://editormalaysia.com/26447/ serta “Ada berapa war room PRU-15 di bawah JPM dan PMO?” di pautan; https://editormalaysia.com/26749/

Selain itu, buat pertama kali juga MEIO mendapat arahan melatih Setiausaha dan Ketua Penerangan Bersatu selama tiga hari di Rumah Latihan MEIO, Jalan Bellamy pada 16 sehingga 18 November 2018. Bagaimanapun, latihan seterusnya yang sepatutnya dijalankan di seluruh negara tidak dapat diteruskan apabila ia dibocorkan oleh pegawai-pegawai MEIO yang tidak bersetuju agensi mereka dijadikan alat politik oleh Bersatu. Bayangkan selama lebih 60 tahun berkuasa tidak pernah sekalipun UMNO-Barisan Nasional menggunakan fasiliti MEIO, tetapi belumpun setahun berkuasa, Bersatu sudah menyalahgunakan kuasa mereka dan ‘menyentuh’ badan risikan negara agar mengikut telunjuk mereka. Ketika latihan ini juga makluman mengenai Dato’ Seri Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir sudahpun diketahui termasuk rancangan untuk menghalangnya juga direkodkan. 

Sebagai rekod, program melatih Bersatu ini diselia oleh pemangku Pengarah Operasi Khas di bawah arahan Ketua Pengarah yang menggantikan Datuk Hasanah Abdul Hamid dan disertai oleh beberapa pegawai-pegawai lain. Semua kebocoran yang dilakukan oleh pemangku pengarah ini yang tidak berpuas hati dengan Ketua Pengarah lama atas isu peribadi beliau sejak hari pertama Datuk Hasanah dilantik, merupakan antara dalang yang membocorkan pelbagai rahsia negara sejak 2018. ‘Rangkaian’ lengkap mereka yang membocorkan pelbagai rahsia negara ini berada dalam pengetahuan MEIO namun entah mengapa sehingga kini agensi perisikan itu masih tidak dibersihkan dan pelakunya masih dibenarkan bertugas termasuk di luar negara. 

Walaupun wujud pengakuan beliau mencuri kunci dan ‘memecah’ peti besi tempat menyimpan dokumen rahsia termasuk ‘surat CIA’ di bilik Ketua Pengarah, malangnya MEIO hanya mendiamkan diri. Surat yang ditulis oleh sepuluh pegawai-pegawai MEIO itu juga menjadi punca kemarahan Tun Mahathir kepada agensi tersebut kerana dikatakan sebagai anti Semitik. Walaupun sebenarnya ia sengaja difitnah untuk menimbulkan kemarahan beliau. Tujuan surat ini dibocorkan hanyalah untuk ‘trigger’…” – merupakan sebahagian pengakuan berekod pemangku pengarah tersebut yang juga dikenali sebagai rogue officer MEIO. 

Lebih malang, beliau sendiri masih dibenarkan bertugas di negara jiran tanpa dikenakan sebarang tindakan atas tindakan kejinya membocor rahsia negara dan menganiaya rakan-rakan lain di MEIO sehingga ada yang ditangkap walaupun tidak bersalah. Agak ganjil juga apabila semua Ketua Pengarah MEIO selepas Datuk Hasanah masih tidak mahu menyiasat insiden memalukan ini dan ‘membersihkan’ MEIO walaupun hakikatnya pembocor rahsia ini merupakan pengkhianat negara dan boleh dipenjarakan. Semua insiden di atas telahpun direkodkan termasuk diserah kepada pihak Istana pada hujung tahun 2021 sebagai makluman, perhatian dan tindakan selanjutnya. 

Rujuk siri artikel di bawah yang mendedahkan insiden kebocoran melampau di MEIO yang masih belum dipulihkan;

1. “Siasat dan dedah segera siapa pembocor operasi rahsia negara” di pautan; https://editormalaysia.com/24343/

2. “Kenapa MEIO tidak bertindak terhadap pembocor surat CIA?” di pautan; https://editormalaysia.com/4776/

3. “Senarai kebocoran melampau di MEIO” di pautan; https://editormalaysia.com/7255/

4. “Hasanah buat laporan polis insiden kecurian wang di MEIO” di pautan; https://editormalaysia.com/24261/ – dalam hal ini, kerajaan sewajarnya segera menyiasat insiden ‘kecurian’ dana keganasan rentas sempadan MEIO di mana SPRM merekodkan kurang US$2 juta dollar daripada jumlah sebenar yang dirampas dan mempunyai bukti serta saksi sekiranya ia disiasat

5. “Hasanah dibebaskan sepenuhnya, MEIO perlu dibersihkan segera” di pautan; https://editormalaysia.com/26123/

Sedangkan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah MEIO sebelum ini sepatutnya segera membersihkan agensi tersebut agar fungsi dan peranan utamanya sejak 1960an dikembalikan. Namun masih belum terlambat, mungkin hanya dengan azam yang kuat ingin melakukan reformasi institusi seperti yang diperjuangkan oleh YAB Perdana Menteri maka mungkin kali ini MEIO dapat dibersihkan habis-habisan, sekaligus memperkasa badan risikan negara daripada agenda sabotaj serta anasir-anasir yang tidak sepatutnya.

Sebagai makluman tambahan, ketika ini beberapa individu sedang giat menjalankan usaha melobi untuk memastikan kumpulan rogue officer dan rangkaiannya kekal selamat di MEIO dan dikhuatiri pembersihan yang diharapkan tetap tidak akan berlaku sampai bila-bila. Ini termasuklah insiden pegawai yang tertangkap di Indonesia dalam satu insiden ‘menjijikkan’ sehingga mencetuskan bantahan pihak kedutaan Indonesia serta badan hak asasi manusia di sana, tetapi beliau masih mahu dikekalkan oleh pegawai bermasalah yang terlibat melatih parti Bersatu sebelum ini.

Nama, jawatan lengkap dan kronologi peristiwa juga sudah berada dalam pengetahuan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan diharapkan tindakan sewajarnya dilakukan kerana ini merupakan kesalahan jenayah berulang, yang juga dilakukan beliau sebelum ini ketika ditugaskan di Cambodia. 

Kesimpulannya, Perdana Menteri wajar melantik individu yang tidak berkepentingan serta tiada menyimpan agenda peribadi sebagai Ketua Pengarah MEIO, agar fungsi dan peranan asal badan risikan nombor satu negara ini dapat dikembalikan. Semoga pembersihan dalaman MEIO ini juga bakal menjadi agenda utama dan KPI Ketua Pengarah baharu yang akan menerajui Bahagian Penyelidikan kelak. Jangan pula apabila sudah memegang jawatan maka lupa segalanya. 

Terima kasih juga buat pegawai-pegawai MEIO yang bekerja dengan penuh dedikasi selama ini dan budi baik anda itu kepada rakyat dan negara hanya mampu dibalas oleh Allah Taala.

Semoga masih ada sinar buat MEIO, in Sha Allah. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts