Majoriti perwakilan yang hadir di Persidangan Agung UMNO (PAU) semalam menyokong penuh dua jawatan tertinggi parti tersebut iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Di sebalik usul yang dikatakan di-‘boo’ sebahagian kecil perwakilan sebelum itu, memperlihatkan akar umbi UMNO mempunyai cara tersendiri untuk memulihkan parti tersebut dengan memperkukuhkan dua jawatan tertinggi tersebut.
Selain itu, bukan rahsia lagi beberapa nama seperti Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Ismail Sabri serta satu nama baharu yang dikatakan oleh Datuk Lokman Adam sebelum ini iaitu Datuk Johari Ghani akan mencalonkan diri masing-masing untuk dua jawatan tersebut. Tentu yang paling kecewa ketika ini ialah Khairy Jamaluddin yang tanpa segan silu lagi kerap menyuarakan hasrat besarnya ingin menjadi Perdana Menteri serta Hishammuddin yang selalu membuat percaturan di belakang parti seolah-olah beliaulah Presiden.
Apapun perancangan ataupun manoeuvre politik yang ingin dilakukan, atas apa juapun alasan terutamanya demi penyatuan ummah atau demi ‘abata’, sebaik-baiknya lakukanlah secara hikmah dan tanpa membelakangkan Presiden dan parti. Jangan ulangi kesilapan yang dilakukan oleh Ismail Sabri sebelum ini yang beriya mahu kekal menjadi Perdana Menteri tetapi dengan cara ‘melanggar’ dua pemimpin tertinggi parti sendiri. Namun akhirnya beliaulah yang rugi dan hanya mampu menggigit jari sendiri.
Perlu diingat, jawatan Presiden ini bukan sekadar institusi tetapi wajar dihormati, bersesuaian dengan mafhum hadis di mana seorang amir itu wajib ditaati, dalam keadaan suka ataupun benci, selagi mana beliau tidak mengajak kepada maksiat. Bagi mereka yang tidak suka kepada pimpinan tertingginya dalam apa jua alasan, semoga hadis di bawah ini mampu mengingatkan mereka agar kembali bersatu.
“Sesiapa yang tidak menyukai sesuatu daripada pemimpinnya maka hendaklah dia sabar. Kerana sesungguhnya tiada seseorangpun daripada manusia yang memisahkan diri daripada pemimpinnya sekalipun hanya sejengkal lalu dia mati melainkan matinya dalam keadaan jahiliyah” – HR Muslim no.1849
Semoga menjadi iktibar buat semua.