Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau PBT diminta mengambil tindakan ke atas pihak pengurusan apartmen Saville di Desa Melawati, ibu negara.
Ini ekoran banyak masalah terutama berkaitan keselamatan para penduduk disebabkan masalah lif di blok A, yang saban hari rosak. Mereka merasa terancam kerana bimbang akan berlakunya kejadian lebih buruk seperti insiden lif terjatuh ke bawah selain terperangkap di dalamnya.
Sudah tentu ia turut menyusahkan penghuni kerana terpaksa menggunakan tangga setiap kali lif rosak dan tergendala. Bayangkan situasi wanita mengandung, ibu yang membawa anak ramai dan ketika mahu membawa banyak barangan ke tingkat-tingkat yang lebih tinggi.
Walaupun para penghuni telah membuat banyak aduan, ia ibarat menyiram air di daun keladi. Apa yang lebih meresahkan pihak pengurusan dan Jawatankuasa Penduduk Saville masih gagal mencari penyelesaian. Sampai hari ini, syarikat operator lif tidak dapat memberi jaminan bila isu lif akan selesai disebabkan tiada tindakan tegas daripada pihak pengurusan. Pengurusan parkir juga termasuk untuk masuk dan keluar bercelaru, di samping sistem pintu automatik yang kerap tergendala.
Sudah hampir dua tahun para penghuni berdepan dengan semua masalan ini sehingga ada ura-ura Kementerian Pertahanan mahu para pegawai tentera yang menyewa di situ, berpindah ke tempat lain. Bukan itu sahaja, nilai harga unit rumah Saville juga jatuh disebabkan isu yang sama dan ramai bakal pembeli membatalkan hasrat mereka selepas membuat tinjauan. Itu belum menyentuh kejadian ceroboh, curi dan pecah kereta walaupun pihak pengurusan mengupah pasukan pengawal luar diberi nama Gerak Kilat.
Hari ini, satu lagi kejadian mengejutkan apabila alat pemotong rumput jatuh di tengah permukaan jalan dari tingkat atas. Bayangkan apa yang akan berlaku jika ia menimpa kenderaan apatah lagi pejalan kaki. Ada penghuni percaya ia berpunca daripada kecuaian manusia dan ada yang tidak menolak kemungkinan, ia perbuatan khianat.
Beberapa hari lalu tular di media sosial, seorang lelaki mencampakkan botol dari atas kediaman di sebuah kondominium ke arah jalan raya yang sibuk dengan laluan kenderaan. Apakah ia perbuatan yang sama sifatnya? Di sebalik apa yang berlaku, tiada langkah meyakinkan diambil dan mengundang banyak persoalan.
Disebabkan pihak pengurusan dan jawatankuasa penduduk Saville dilihat gagal menangani isu kekerapan lif rosak dan lain-lain maka amat wajar pihak berkuasa campur tangan. Ini masa untuk membetulkan segera segala kelemahan dan kecuaian.
Wakil penghuni kecewa,
Saville, Desa Melawati, Kuala Lumpur.