Calon Ketua Pemuda Pergerakan UMNO Malaysia Datuk Mohd Shahar Abdullah melihat partinya masih relevan dan mempunyai peluang untuk kembali menjuarai hati rakyat.
Menurutnya, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk memastikan UMNO kekal relevan di peringkat parti malah lebih penting rakyat juga berpendirian sama. Lebih penting, ia akan memberi peluang lebih besar buat UMNO di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.
“Apabila ramai orang cuba nak menjawat jawatan dalam parti maknanya UMNO ini masih relevan. Cumanya, ada beberapa perkara perlu dilakukan supaya UMNO bukan relevan di peringkat parti sahaja tetapi di peringkat akar umbi, rakyat dan anak muda yang akhirnya akan memberi ruang serta peluang kepada kita untuk kembali dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.“
Ketua Penerangan Pemuda UMNO itu juga berkata bahawa partinya tidak tandus pemimpin tetapi memerlukan individu yang ada keberanian untuk menyatakan sesuatu walaupun pahit. Beliau yakin dengan langkah yang dibuat oleh anak-anak muda sebelum ini, mereka ingin melihat apa perancangan UMNO pada 20 tahun akan datang.
Selain itu, Shahar juga berpandangan UMNO memerlukan pemimpin muka baharu untuk meneruskan legasi perjuangannya yang berlandaskan agama, bangsa dan tanah air. Mereka juga perlu belajar memimpin bukan sahaja di peringkat cawangan tetapi perlu mencuba dan bersedia untuk menjawat jawatan lebih tinggi.
“Mereka perlu belajar suka duka, atas dan bawah, senang dan susah, kerana parti kita ini dahulunya mempunyai semangat kesatuan yang amat tinggi,” katanya lagi.
Sebagai rekod, bagi calon Ketua Pemuda Pergerakan UMNO pada penggal 2023-2026 kali ini menyaksikan Shahar menjadi satu-satunya Ahli Parlimen yang bertanding jawatan tersebut dan kelebihan ini tidak boleh disia-siakan oleh perwakilan UMNO di pemilihan kelak.
Dengan pengalaman dan “added value” yang ada, pasti ‘suara’ Pemuda UMNO lebih didengari termasuk di Sidang Parlimen kelak.