AZMIN, MAHIADDIN TIDAK LAYAK PERTIKAI KENAPA PEMIMPIN BERSATU DIDAKWA

94
SHARES
302
VIEWS

Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali yang terlibat skandal semburit sebelum ini menyoal mengapa hanya pemimpin Bersatu sahaja yang menjadi sasaran penyiasatan dan pendakwaan, sedangkan Jana Wibawa diteruskan ketika UMNO menerajui kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri Yaakob? 

Azmin mendakwa kononnya ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan menggunakan institusi kerajaan untuk menganiaya lawan politik untuk menjejaskan kredibiliti Perikatan Nasional dalam enam pilihan raya negeri yang akan datang.

Bagi merumuskan dakwaan Azmin ini, lebih baik kita melihat isu video lucah sesama jenis yang melibatkan dirinya sendiri. Melalui video tersebut, Azmin langsung tidak berani bersumpah laknat menafikan beliau terlibat atau membuat laporan polis bahawa video tersebut palsu dan beliau dianiaya. Ini jelas ada perkara yang mahu disembunyikan Azmin. 

Tetapi, ironinya sehingga kini beliau masih tidak didakwa di mahkamah walaupun Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Hamid Bador mengatakan video itu tulen dan tidak diedit. Ini baru digelar sebagai pendakwaan terpilih kerana pemimpin-pemimpin kanan UMNO yang tidak mahu membubarkan parti didakwa atas kesalahan yang tidakpun mereka lakukan, sebaliknya Azmin yang jelas mempunyai bukti video pula dilepaskan. 

Malah dalam Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, bukti yang dibawa bukan sahaja meragukan, saksi pendakwaan juga ‘kantoi’ menerima habuan daripada Jho Low. Lebih memalukan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan keluarga yang jelas terlibat menerima wang beratus juta daripada Jho Low juga tidak disiasat sehingga kini, membuktikan di zaman Tun Mahathir memerintah, pendakwaan (prosecution) yang bersifat penganiayaan (persecution) ini adalah normal.

Jika ini yang berlaku maka barulah kerajaan boleh dituduh mahu menganiaya melalui dakwaan terpilih seperti tuduhan Azmin dan Mahiaddin. Termasuk juga kes-kes pemimpin UMNO lain yang melompat masuk Bersatu ketika itu dilepaskan walaupun terlibat menerima wang yang sama dengan pemimpin UMNO yang dituduh di mahkamah. 

Dalam kes pemimpin Bersatu dan dakwaan rasuah melalui Jana Wibawa pula, dana untuk Bumiputera ini bukan sahaja disalahguna dan diberikan secara salah, malah ia melibatkan juga kontraktor bukan Bumiputera. Selain itu, salah seorang tertuduh juga merupakan sepupu kepada menantu Mahiaddin – yang tentu menimbulkan pelbagai keraguan di atas penglibatannya selaku Perdana Menteri ketika itu. Isu keengganannya membuka kembali Parlimen hatta ditegur oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, juga menimbulkan banyak keraguan. 

Sepatutnya mereka bersyukur, inilah masanya pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional yang selalu perasan mereka ini ‘suci’ dan ‘bersih’ boleh menggunakan peluang yang ada untuk membuktikan mereka benar-benar tidak bersalah di mahkamah. Jika risaukan persepsi buruk apabila didakwa, hakikatnya inilah cara keji yang mereka gunakan sebelum ini untuk memburuk-burukkan pemimpin UMNO terutamanya Najib dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Mahiaddin dan Perikatan Nasional juga tidak jangka mereka gagal memerintah selepas PRU-15, maka skandal Jana Wibawa yang dibuat terang-terangan ketika darurat dapat dibongkarkan. Ini juga menjelaskan kenapa perlu ada perjanjian sulit Ismail Sabri dan Mahiaddin suatu ketika dahulu. Jika tidak, tentu salah guna kuasa dan rasuah ini tidak akan diketahui oleh sesiapa kerana pasti Perikatan Nasional akan terus berlagak suci dan bersih seolah-olah tiada apa yang berlaku. Hakikatnya bangkai gajah sukar ditutup hanya dengan nyiru.

Jika tiada keraguan, pasti SPRM tidak akan mengemukakan siasatan mereka ke pihak Peguam Negara yang seterusnya mendakwa pemimpin-pemimpin Bersatu. Bagi Azmin dan Mahiaddin, bersabar sahajalah dan lawan sahaja di mahkamah. Lagipun mereka berdua belumpun didakwa, maka janganlah ‘melatah’ berlebih-lebihan. 

Kesimpulannya, inilah balasan bagi mereka yang angkuh dan terlalu yakin dengan perancangan sendiri sebaliknya lupa dengan perancangan Allah Taala yang tentunya jauh lebih baik.  Kesempatan yang ada ini lebih baik digunakan untuk bertaubat dan minta maaflah kepada individu yang mereka aniaya sebelum terlambat. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts