PN PERLU HENTI USAHA ‘TEBUK ATAP’, BERSAMA KEKALKAN STABILITI KERAJAAN YANG DIPERTUAN AGONG

350
SHARES
2.1k
VIEWS

Desas-desus propaganda murahan mengenai Kerajaan Perpaduan tidak mampu bertahan lama dan bakal ditumbangkan tidak lama lagi sepatutnya jangan dilayan dan sebarang cubaan untuk menjayakannya wajar dihentikan serta merta. 

Bukankah selepas PRU-15 apabila Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan masing-masing gagal mencapai kata sepakat bagi membentuk kerajaan maka Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong terpaksa campur tangan menyelesai kemelut yang melanda? Walaupun cadangan baginda ditolak mentah-mentah tanpa sekelumit perasaan hormat oleh pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional namun akhirnya kerajaan Perpaduan berjaya juga ditubuhkan tanpa mereka.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan berjaya mengangkat sumpah selaku Perdana Menteri kesepuluh, dibantu oleh pasukan ‘underdog‘ UMNO-Barisan Nasional yang sebelumnya dicemuh teruk Perikatan Nasional, diketuai oleh Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kegagalan Tan Sri Mahiaddin selaku Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional dalam menerajui rundingan bersama UMNO-Barisan Nasional, selain angkuh keterlaluan hanya memakan diri. 

Perikatan Nasional bukan sahaja gagal menjadi kerajaan dan jawatan Perdana Menteri pula terlepas tangan, kini pemimpin-pemimpinnya pula berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah. Dari mencemuh pemimpin-pemimpin UMNO sebagai ‘Kluster Mahkamah’ kini mereka pula dilabel sebagai kluster yang sama. Dahulu di atas angkuh menongkat langit, kini mereka terhumban terhina apabila ego sendiri gagal diatasi.

Sungguhpun begitu Perikatan Nasional masih belum serik dan cuba menumbangkan Kerajaan Perpaduan yang dipelopori sendiri oleh YDP Agong, malah ia diakui secara terbuka oleh pemimpinnya di Parlimen. Bukankah ini jelas satu pengkhianatan kepada baginda Tuanku yang telahpun bertitah berharap agar tiada lagi pertukaran Perdana Menteri selama pemerintahannya?

Justeru, semoga kerakusan berkuasa dan ketamakan jawatan Perdana Menteri oleh Perikatan Nasional ini tidak sehingga mengheret rakyat jelata yang setia kepada Rajanya ke jalanan, sehingga memporak-porandakan negara dan menjejas stabilitinya. Penyokong-penyokong mereka perlu bijak berfikir dan reda dengan ketentuan Allah Taala. Manakala pemimpin-pemimpinnya pula sepatutnya bersabar dan menghormati keputusan baginda dan Raja-raja Melayu yang telah berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri kesepuluh – yang hakikatnya hanya memegang amanah menerajui kerajaan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Cukup-cukuplah Perikatan Nasional menjadi kerajaan ‘pintu belakang’, tetapi usahalah menjadi pembangkang yang baik agar kestabilan dan kemakmuran negara dapat dicapai bersama.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts