KENAPA PN AGRESIF MAHU GULING KERAJAAN PERPADUAN YDP AGONG?

378
SHARES
2.2k
VIEWS

Saya tidak hairan mengapa PN yang dianggotai antaranya PAS dan Bersatu mahu sabotaj kerajaan perpaduan yang dirintis oleh Yang DiPertuan Agong. Usaha-usaha yang tersusun oleh PN untuk merampas kuasa melalui cara tebuk atap, makin diperhebatkan.

Ketika rakyat mengharapkan kestabilan politik dan keharmonian, PN pula membakar sentimen agar kerajaan perpaduan Yang DiPertuan Agong ini ditentang dan dimusnahkan.
Apakah sebabnya PN mahu mewujudkan satu lagi kerajaan tebuk atap yang pernah diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin?

PERTAMA. Para pemimpin PN bimbang lebih banyak perlakuan rasuah dan salah guna kuasa mereka akan terdedah. Ini bukan soal kononnya berdendam atau pendakwaan terpilih tetapi menangani realiti angkara kemungkaran sebahagian pemimpin kerajaan PN. Difahamkan banyak lagi kes rasuah dan salah guna kuasa akan dibongkar termasuk isu pembelian vaksin, isu MySejahtera dan isu kontrak runding terus dalam beberapa lagi projek besar.

Biarlah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim teruskan agenda integriti terutama memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Tiada sesiapa wajar terlepas disiasat dan diambil tindakan. Lihatlah bagaimana bekas Menteri Besar Perlis dari UMNO didakwa di mahkamah minggu lalu atas tuduhan salah guna kuasa dan Menteri Sumber Manusia dari DAP juga sedang disiasat SPRM.

Apa keistimewaan pemimpin PN untuk diberikan pengecualian daripada dikenakan tindakan atas kesalahan mereka?

KEDUA. Gerakan PN untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan mesti dilakukan seawal mungkin bagi mengelakkan kerajaan sekarang semakin kukuh dan teguh. PN juga bimbang kerjasama antara PH dan BN akan serasi serta makin diterima rakyat terutama orang Melayu. Ini bermakna peluang PN sukar bagi memenangi PRU-16, iaitu gagal meneruskan momentum PRU-15.

KETIGA. Setelah usaha PN untuk menguasai pimpinan atasan UMNO menggunakan pasukan pro PN dalam pemilihan UMNO gagal, PN kian terdesak untuk melaksana pelan lain. Barisan Majlis Tertinggi UMNO, barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri serta hampir semua Ketua Bahagian penggal baharu kini teguh menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

UMNO telah dapat dibersihkan daripada kumpulan khianat (pro PN) dan kini melangkah ke fasa pemulihan dengan penekanan kepada solidariti.

KEEMPAT. PN sedar bahawa pilihan raya negeri tidak lama lagi belum mampu dapat menggoncang kerajaan pusat meskipun sekiranya PN menang banyak negeri. Kuasa pusat tidak akan berubah. Kerajaan Perpaduan sudah bersedia hadapi asakan dan tekanan seumpama itu.

KELIMA. Salah satu gerakan yang sedang dilakukan oleh PN ialah dengan memancing Ahli -ahli Parlimen Barisan Nasional, GPS dari Sarawak dan GRS dari Sabah untuk menyeberang menyokong PN.

PN masih mempunyai kewangan yang kukuh melalui sumber-sumber sulit (walaupun akaun parti Bersatu telah dibekukan) untuk membeli sokongan pelbagai pihak. Khabarnya siri-siri rundingan terutama dengan Ahli-ahli Parlimen Semenanjung dan Sarawak kini aktif dilakukan.

Dengan kesemua faktor yang saya gariskan ini, rakyat boleh membuat penilaian. Yang pasti rakyat tidak mahu terjadinya lagi malapetaka kerajaan tebuk atap. Cukuplah sekali ia berlaku kerana mudaratnya amat besar.

Kerajaan yang tidak stabil akan membawa negara ke era kehancuran dan Malaysia pasti terus ketinggalan berbanding negara-negara jiran. Kedudukan ekonomi akan lebih terjejas, pelaburan berkurangan, pengangguran melonjak dan inflasi akan meningkat. Keadaan ini akan membebankan rakyat yang sepatutnya dibantu dan bukannya disusahkan.

Bukankah ini sabotaj besar kepada kerajaan perpaduan Seri Paduka YDP Agong? Apakah kita mahu memulihkan negara dalam erti kata sebenar atau memilih untuk hanyut sesat di lautan ganas bagai bahtera menanti karam?

Zamani Zaman

Bandar Baru Bangi

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts