Isu yang dibuat oleh Pengarah Komunikasi parti Amanah iaitu Khalid Samad, melibatkan Pengampunan DiRaja atau Royal Pardon oleh bekas Perdana Menteri keenam Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan UMNO boleh dikatakan berakhir apabila parti itu secara terbuka telah memohon maaf kepada UMNO.
Khalid yang memohon Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong menolak permohonan pengampunan Najib itu dilihat berlebihan dan tiada sifat setia kawan dalam satu kerjasama antara gabungan Kerajaan Perpaduan.
Permohonan maaf itu dilakukan sendiri oleh Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub kepada Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau dipetik berkata, “Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri ini, saya bagi pihak Amanah mohon maaf diatas kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Komunikasi Amanah baru-baru ini dan sekiranya kenyataan itu menyinggung ataupun melukakan UMNO maka kami minta maaf.
Kenyataan maaf tersebut dibuat beliau ketika hadir majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini. Beliau turut mengulas bahawa adalah menjadi hak seseorang warga untuk meminta pengampunan daripada YDP Agong.
Justeru, ukhuwah dan semangat setiakawan perlu dijaga apatah lagi jika bukan kerana UMNO-Barisan Nasional yang membantu Pakatan Harapan hasil daripada titah dan usaha YDP Agong agar membentuk Kerajaan Perpaduan, tentu ketika ini Anwar dan Pakatan Harapan tidak berupaya menjadi kerajaan.