Ketika Ketua Menteri Basavaraj Bommai mengakui kekalahan BJP dalam pemilihan Dewan Undangan Negeri Karnataka, parti itu mengambil inisiatif untuk melakukan ‘post mortem‘ terhadap faktor-faktor yang membawa kepada kemerosotan sokongan yang teruk dan punca kekalahannya di negeri tersebut, seperti dilaporkan oleh The Indian Express.
Menurut sumber BJP, mereka sendiri akui bahawa parti tersebut “telahpun kalah dalam pilihan raya lama sebelum pengundian dilakukan”. Berikut beberapa sebab utama yang dilihat sebagai punca kekalahan BJP di Karnataka;
Pemimpin bercelaru, ahli-ahli keliru
Dalam usaha untuk menyediakan BJP Karnataka di bawah kepimpinan baharu, pada Julai 2021 pemimpin utama parti menggantikan pemimpin veteran yang juga Ketua Menteri empat kali, BS Yediyurappa dengan Basavaraj Bommai yang lebih muda.
Bommai dianggap sebagai pentadbir yang baik dan bersih, namun apabila gagal muncul sebagai pemimpin popular, BJP terpaksa kembali kepada Yediyurappa, yang lebih diterima dan popular. Maka beliau dibawa semula sebagai ‘poster boy‘ yang berkempen bersama Perdana Menteri Narendra Modi.
Bagaimanapun, BJP tidak jelas sama ada ia akan mengekalkan Bommai atau menggantikannya dengan muka lain untuk memimpin kerajaan di Karnataka sekiranya menang undian. Ketidakpastian ini menyebabkan ahli-ahli parti menjadi keliru dan wujud pula kem-kem tertentu.
Kekeliruan yang sama berlaku apabila parti itu memutuskan untuk menukar muka lama daripada senarai calonnya, kononnya dalam usaha meneutralkan faktor anti-penyandang jawatan terhadap kerajaan.
Dengan keputusan menggugurkan muka lama, termasuk bekas Ketua Menteri Jagadish Shettar dan pemimpin kanan seperti KS Eshwarappa serta Laxman Savadi dan meletakkan 72 muka baharu, mengakibatkan 8 pemimpin parti tidak berpuas hati termasuk Shettar dan Savadi – yang kemudiannya berpaling tadah ke parti Kongres, yang semakin memburukkan keadaan BJP di Karnataka.
Kegagalan menyampaikan maklumat berkesan, tersalah cara kempen
BJP menyediakan pelan hala tuju pembangunan di Karnataka sebagai umpan kempennya di sana, di mana para pemimpinnya berkata mereka perlu diberi mandat terlebih dahulu bagi melaksanakannya. Laungan ‘Hindutva’ yang berkisar mengenai semangat nasionalisme dan budaya serta agama juga gagal menarik minat di Karnataka, yang lebih mempercayai kempen praktikal pembangkang yang diketuai Kongres.
Rakyat dilihat lebih percaya janji-janji Kongres untuk mengambil tindakan tegas ke atas isu radikalisme, termasuk larangan ke atas kumpulan sayap kanan radikal, termasuk kumpulan militan Bajrang Dal, yang membentuk sayap pemuda Vishva Hindu Parishad, iaitu kumpulan sayap kanan Sangh Parivar – dengan memakai ideologi Hindutva yang semakin tidak diterima rakyat.
BJP bersama-sama Barisan Popular India (PFI) kononnya bagi ‘menenangkan’ pengundi Muslim Karnataka, BJP cuba mengalihkan fokusnya kepada kempen polarisasi, namun tetap gagal.
Selepas kegagalan dalam mendekati pengundi-pengundi, pemimpin BJP termasuk Modi dan setiap pemimpin tempatan, mula menyasarkan parti Kongres sambil melaungkan “Jai Bajrang Bali” di setiap perhimpunan dan kempen mereka bagi menaikkan sokongan.
Sebaliknya, menurut pemimpin BJP, para pengundi menjadi semakin marah dan kecewa kerana ketiadaan wakil yang boleh dipercayai daripada BJP yang mampu menyelesaikan kebimbangan mereka selama ini mengenai isu kenaikan harga dan pengangguran.
Ini berbeza dengan rancangan awal BJP untuk tidak menggunakan laungan Hindutva dalam kempennya kerana penilaian awal parti terhadap realiti sokongan di lapangan, termasuk melalui tinjauan, menunjukkan ia tidak akan berjaya digunakan di negeri seperti Karnataka.
Beberapa pemimpin BJP turut bertegas bahawa memperjuangkan isu berkaitan bangsa dan agama sukar untuk dijayakan, kecuali di beberapa tempat di selatan Karnataka, seperti Mysuru dan Kanara.
Kegagalan dalam ‘perang naratif’
Walaupun Kongres berjaya menetapkan naratif lebih awal sebelum pilihan raya iaitu kerajaan BJP adalah perasuah dan kempen “40 peratus sarkara”, malangnya parti pemerintah gagal mengawalnya dengan berkesan. Kempen ini turut mempengaruhi netizen melalui laman webnya sendiri. Rujuk pautan; https://www.40percentsarkara.com/#/home
Beberapa pemimpin parti mengaitkan kekalahan BJP ini dengan ketidakupayaan mereka untuk bertindak balas segera, termasuk isu lambat memberikan respons dalam mengurus dan mengawal naratif serta persepsi.
Selain itu, walaupun parti Kongres berjaya mewujudkan pasukan yang dilihat bersatu padu, tetap wujud perbezaan ketara antara dua pemimpin tertinggi negeri, iaitu Siddaramaiah dan D K Shivakumar. Tetapi BJP lebih teruk kerana dilihat seperti sebuah kumpulan yang berpecah-belah, sehingga ada pemimpin kanannya yang berpaling tadah dan melompat parti.
Beberapa pemimpin turut mempersoalkan tindakan BJP untuk terus mempertahan dan memperjuangkan isu Bajrang Dal.
Gagal bersatu, terlalu bergantung kepada Modi
Walaupun sudah ada indikator yang boleh dirujuk di beberapa negeri, antaranya yang terkini di Himachal Pradesh, yang membuktikan Modi tidak mampu membantu sekiranya pimpinan negeri sendiri tidak bersatu padu dan berdiri teguh bersama parti. Namun BJP terpaksa meminta Modi untuk membantu mereka berkempen di Karnataka walaupun ada dalam kalangan pemimpin mereka sendiri ragu-ragu dengan pendekatan ini.
Di sepanjang kempen, pemimpin BJP di seluruh negeri hanya berharap dan menunggu Modi untuk memulakan kempen sekaligus untuk melonjakkan parti bagi meraih kemenangan. Bagaimanapun, tinjauan pendapat di Karnataka, sepertimana tinjauan di Himachal yang dilakukan November lepas, membuktikan bahawa ‘keajaiban’ bantuan Modi hanya akan berjaya jika BJP negeri mampu bergerak sebagai satu kumpulan.
Kesilapan BJP dalam mengabaikan Bommai dan laporan prestasi kerajaannya dalam setiap kempen audio visualnya, serta hanya menumpukan inisiatif yang dilakukan oleh Modi dan kerajaan pusat seperti dalam hal kebajikan rakyat, selain tertumpu kepada populariti Modi semata-mata, akhirnya membawa padah.
Tiada pemimpin pelapis yang berwibawa
Ketiadaan pemimpin pelapis yang, diyakini di peringkat negeri turut menyumbang kepada kekalahan memalukan BJP di Karnataka. Pimpinan parti negeri tidak mempunyai mana-mana pemimpin yang menonjolkan selain daripada Yediyurappa yang dari awal telah digantikan dengan Bommai.
Beliau yang diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat melangkaui taraf kasta, kaum dan kelas di Karnataka namun apabila beliau sendiri tidak dilibatkan, maka kempen BJP dilihat ‘cacat’ dan tiada kredibiliti.
Persoalan lebih besar, BJP sendiri dikhabarkan menghadapi masalah yang sama di seluruh negara, masalah pemimpin pelapis ini bakal menenggelamkan BJP sekiranya parti itu gagal mencari formula baharu, atau lebih buruk mereka menggunapakai formula sedia ada yang sudahpun terbukti tidak berkesan.
Sejak 2014, selain Uttar Pradesh dan Assam, yang diterajui oleh Yogi Adityanath dan Himanta Biswa Sarma, BJP masih tidak mampu membentuk kepimpinan yang kuat dan boleh diterima ramai, sebagai pelapisnya.
Jika BJP masih berkempen dengan menggunakan strategi lapuk, yang hanya bergantung kepada ‘aura’ Modi dan inisiatif kerajaan pusat, serta masih menggunakan isu Bajrang Dal, dikhuatiri BJP akan ditolak sepenuhnya pada Pilihan Raya Nasional yang akan diadakan tahun hadapan.