Satu perhimpunan aman di Pantai Sungai Batu, Teluk Kumbar bagi membantah projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI), pagi semalam, dihadiri kira-kira 4,000 nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara NGO yang hadir ialah Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) serta Penang Forum.
Mereka turut bercadang menyerahkan memorandum bantahan kepada YDP Agong serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) Ibrahim Che Ros berkata pihaknya akan menyerahkan memorandum tersebut untuk memohon agar baginda dapat melihat nasib nelayan di Pulau Pinang.
Menurut Ibrahim, pihaknya sedang menyiapkan memorandum yang akan dihantar kepada YDP Agong dalam masa terdekat supaya baginda dapat melihat nasib para nelayan sekiranya projek PSI tersebut diteruskan.
Mereka juga bercadang mengadakan perhimpunan aman di Parlimen dalam waktu terdekat, seterusnya menyerahkan memorandum kedua bantahan projek kepada Perdana Menteri dan berharap beliau dapat mendengar suara nelayan.
Sebagai rekod, sebelum ini Perdana Menteri menyatakan kesediaan pihak kerajaan untuk mendengar keluhan dan bantahan nelayan sekaligus membantu mencari penyelesaian terbaik yang boleh diusahakan.