PRN: 3 NEGERI KEKAL MILIK PERIKATAN NASIONAL – DR. RAMALAN YUNUS

398
SHARES
2.3k
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Pendekatan Kerajaan Perpaduan yang ingin bermain selamat dilihat memakan diri. Keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merombak jawatan utama seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah SPRM, Ketua Polis Negara, Gabenor BNM dan beberapa lagi jawatan penting yang lain dilihat sebagai satu kelemahan.

Ketiadaan dasar-dasar besar untuk memulihkan krisis ekonomi menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan Kerajaan Perpaduan. Jentera media dan propaganda Kerajaan Perpaduan yang dilihat tidak mempunyai naratif, gagal untuk menarik minat dan sokongan rakyat terutamanya orang Melayu kepada Kerajaan Perpaduan.

Ketiadaan naratif dan inisiatif untuk melakukan counter-attack terhadap kemaraan Proklamasi Melayu yang dipromosikan oleh Tun Mahathir semakin menghakis sokongan orang Melayu kepada Kerajaan Perpaduan.

UMNO pula setakat ini dilihat masih gagal untuk menjalankan peranannya dalam menarik minat dan sokongan orang Melayu kepada Kerajaan Perpaduan. Ini kerana konflik dalaman UMNO sendiri dilihat masih jauh lagi dari selesai.

Manakala para pemimpin kanan UMNO pula dilihat masih gagal untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO. Jentera media UMNO juga dilihat masih gagal untuk membina populariti UMNO di kalangan orang Melayu.

Bancian yang sering dilakukan di media-media sosial juga menunjukkan populariti DS Anwar dan DS Ahmad Zahid Hamidi merudum dengan begitu teruk sekali.

Kedatangan kumpulan Coldplay yang terkenal dengan imej LGBT dan juga tindakan KDN untuk menarik balik rayuan kes penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam merupakan mala petaka terbaru buat Kerajaan Perpaduan. Dua isu besar ini sekiranya tidak diuruskan dengan baik akan menjarakkan lagi sokongan orang Melayu kepada mereka.

Sekiranya tidak ada langkah-langkah drastik yang diambil untuk menarik minat dan sokongan orang Melayu sebelum PRN maka agak sukar bagi Kerajaan Perpaduan untuk mendominasi PRN akan datang.

Dari tinjauan rambang di lapangan di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, setakat ini kelihatannya dikuasai oleh Perikatan Nasional.

Kelantan – PN tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengekalkan dominasi mereka di Kelantan. Biar apapun isu yang timbul atau sebarang bantuan dari Kerajaan Perpaduan, sentimen rakyat Kelantan dilihat terus berpihak kepada PN.

Terengganu – Kepimpinan tertinggi UMNO di negeri itu agak kurang popular di kalangan rakyat.Hubungan dengan Istana juga diberitakan agak kurang baik. Ini menyukarkan UMNO untuk menguasai negeri itu.

Kedah – Biarpun hubungan Istana dengan pemimpin Kerajaan Negeri agak kurang baik namun beliau begitu popular di kalangan rakyat. Kepimpinan UMNO di negeri ini juga masih gagal untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.

UMNO perlu berani melakukan sesuatu yang drastik terhadap kepimpinan tertingginya di Terengganu dan Kedah sekiranya ingin mengharapkan mood yang berbeza dari para pengundi.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts