RUMAH TERBUKA PN DI SHAH ALAM – DR. RAMALAN YUNUS

108
SHARES
348
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Awal pagi sudah ada kawan yang bagi laporan mengenai Majlis Rumah Terbuka Perikatan Nasional di Shah Alam. Menurut beliau alunan ‘gelombang hijau’ sudah sampai ke Selangor.

Dianggarkan para tetamu yang hadir adalah di antara 25 ribu hingga 30 ribu orang.

Walaupun nampak meriah dan macam menarik tetapi bagi saya tidak ada apa yang luar biasanya dengan gelombang hijau ini. Kalau setakat muncul gelombang hijau di Kelantan, Terengganu, Kedah dan sekarang mulai masuk ke Selangor pula, saya tidak hairan. Ini merupakan kawasan orang-orang Melayu.

Apa yang saya mahu lihat adalah kemunculan gelombang hijau di tengah-tengah Pulau Pinang. Bukankah gelombang hijau sedang rancak menyatukan orang Melayu dengan meniupkan semangat anti DAP? Bagi saya, kalau betul anti DAP, banjirilah seluruh negeri Pulau Pinang dengan gelombang hijau. Ini kerana Pulau Pinang dikuasai oleh DAP.

Pastikan Presiden PAS, Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang jadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Ataupun Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Itu baru betul anti DAP dan betul-betul mahu membela nasib orang Melayu. Kalau itu yang berlaku baru saya anggap sebagai luar biasa dan mampu mengkagumkan saya.

Kalau setakat sembang berdegar-degar dan ucapan berapi-api melaungkan retorika anti DAP cuma di depan orang Melayu sahaja, apa faedahnya? Ini kerana bagi saya, bila masa DAP ini bertanding di kawasan Melayu? Bila masa pulak PAS atau sekarang ini sudah ada Bersatu berani bertanding di kawasan orang Cina?

Agak-agak berani tak Tan Sri Hadi Awang atau Tan Sri Muhyiddin bertanding di kawasan Cina di Pulau Pinang? Ataupun The Great Tun Mahathir yang nampak tengah bersemangat hendak membela nasib orang Melayu, berani bertanding di kawasan orang Cina di Pulau Pinang?

Kalau tidak berani, tidak perlu ‘sembang kari’ tentang hendak membela nasib orang Melayu dan bakar semangat orang Melayu supaya anti DAP.

UMNO dahulupun anti DAP juga tetapi dengan takdir Allah SWT, hari ini telah berkerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan. Setakat ini Alhamdulillah, mereka kelihatannya sudah mulai selesa untuk berkerjasama.

Saya sering mengingatkan orang Melayu agar kembali ke pangkal jalan. Kembali bermasyarakat dan bernegara dengan berTuhan sesuai dengan prinsip pertama Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Belajarlah mempercayai Tuhan dalam setiap aspek kehidupan dan kenegaraan. 

Masalah orang Melayu selama ini, mereka yakin dan percaya bahawa Allah SWT yang mengatur sistem alam semesta yang begitu besar dan kompleks ini. Peredaran matahari, bumi, bulan, planet dan bintang-bintang adalah menurut kadar dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sistem cakerawala menjadi bukti kehebatan peraturan Allah SWT.

Namun masalah orang Melayu, mereka tidak yakin bahawa peraturan Allah SWT mampu mengatur kehidupan mereka di atas muka bumi ini. Baik kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara mereka.

Mereka tidak percaya bahawa peraturan Allah SWT itu mampu memberikan mereka kestabilan dan kemakmuran. Sebab itu mereka memilih untuk hidup dengan menggunakan sistem yang telah ditaja oleh para elit global. Dan kerana percaya dengan sistem yang ditaja oleh para elit global maka pada hari ini kita telah mengalami krisis dalam setiap dimensi kehidupan kita. Politik, ekonomi dan sosial.

Sikap orang Melayu ini yang menghairankan saya. Ini kerana bagi saya kalau alam semesta yang luas dan kompleks ini menjadi begitu teratur dengan peraturan Allah SWT, apatah lagi kalau setakat mengatur kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

Sebab itu saya kecewa dengan kemunculan gelombang hijau yang sedang menyatukan orang Melayu dengan niat dan tujuan yang salah. Orang Melayu wajib bersatu dengan iman dan takwa kerana Allah SWT, bukan kerana kepentingan politik segelintir pemimpin Melayu yang jahat.

Rasulullah SAW sendiri pernah mengingatkan para sahabat bahawa amalan yang paling utama di dalam Islam adalah saling menyintai sesama saudara Islam kerana Allah SWT. Bukan kerana parti politik, PRN atau kerana anti DAP.

Seharusnya orang Melayu bersatu untuk menjunjung Titah Tuanku selalu Ulil Amri dengan menyokong Kerajaan Perpaduan dan membina semula Malaysia ke arah yang madani.

Demokrasi sudah mati dalam PRU-15. Ini zaman kebangkitan Raja-raja Melayu dan Islam di Malaysia. Demokrasi sudah mati dan kapitalisme sedang menuju kehancuran.

Lebih baik mentaati titah Tuanku berbanding mentaati para pemimpin politik yang tidak lama lagi akan menjadi golongan Kluster Mahkamah 2.0. 

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

22 Mei 2023

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts