Cita-cita Perikatan Nasional mahu memerintah masih belum dipendamkan kerana semakin ramai pemimpin-pemimpin akan dihadapkan ke mahkamah kelak.
Siri “rundingan pintu belakang” dengan pelbagai pihak juga masih diteruskan walaupun wujud kekangan melalui Akta Lompat Parti dan perjanjian 148 Ahli Parlimen yang menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.
Sungguhpun begitu, cubaan Perikatan Nasional menukar kerajaan ini bukanlah demokrasi melalui Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi secara tebuk atap. Ini dilakukan melalui tuduhan dan mainan persepsi kononnya Kerajaan Perpaduan hari ini tidak mampu mentadbir kerajaan dengan baik – walaupun hakikatnya mereka baru memasuki bulan keenam menjadi kerajaan.
Jika disorot kembali, Perikatan Nasional sebenarnya tidak pernah membentuk kerajaan melalui PRU. Mereka hanya tahu ‘hijack‘ kerajaan melalui pintu belakang atau cara menebuk atap, iaitu satu-satunya kepandaian yang mereka ada. Realitinya, yang membentuk kerajaan pada PRU-14 ialah Pakatan Harapan tetapi melalui Langkah Sheraton Perikatan Nasional berjaya ‘hijack‘ dan mengambil alih kerajaan.
Sama juga di PRU-15, Perikatan Nasional diberi peluang oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong memerintah bersama Pakatan Harapan namun titah Baginda ditolak mentah-mentah secara angkuh dan biadap.
Kemudian mereka cuba lagi mewujudkan “langkah pintu belakang” dengan ‘mencucuk’ pelbagai pihak menggunakan naratif kononnya Kerajaan Perpaduan ini tidak membela nasib kaum Melayu dan Islam.
Tentunya sekali lagi ‘scheme of things’ Mahiaddin menjadi taruhan, jika dahulu menjadi, tidak mungkin kali ini ia tidak boleh dilakukan. Tentu ramai yang akan ‘tumpas’ berdepan dengan penyogokan politik tajaan Perikatan Nasional.
Justeru, sampai bila rakyat dan pemimpin-pemimpin mahu membiarkan perkara ini daripada terus berlaku? Natijahnya bakal berterusan, stabiliti negara dan ekonomi tentu terjejas apabila pelabur sendiri ragu-ragu mahu membuat pelaburan di negara ini.
Sepatutnya dibentangkan pula Akta Pintu Belakang atau Akta Anti Sabotaj Kerajaan yang bakal mengekang segelintir Ahli-ahli Parlimen rakus daripada berterusan memporak-porandakan negara demi mahu berkuasa.
Bertarunglah lima tahun sekali secara sihat, mana-manapun kerajaan yang membentuk kerajaan melalui PRU wajib memerintah selama lima tahun tanpa adanya sebarang gangguan.
Barulah pelabur yakin dan rakyatpun tenang.