UMNO TIDAK PERLU AMPU SESIAPA DALAM KERAJAAN PERPADUAN

345
SHARES
2k
VIEWS

Oleh Lim Sian See

Memang benar bahawa jika UMNO-BN tarik diri, kerajaan tidak tumbang serta-merta kerana masih ada sokongan 118 kerusi (Ahli Parlimen). 

Tetapi jika pihak sebelah (Perikatan Nasional) kumpul kerusi-kerusi bebas dan parti-parti kecil seperti Warisan dengan pelbagai janji jawatan atau projek, maka kerajaan akan tumbang. Belum sebut lagi GRS dan GPS.

Jika UMNO-BN tarik diri maka kerajaan hari ini juga akan hilang legitimasi sebagai kerajaan yang turut mendapat sokongan orang Melayu. Maka UMNO perlu faham bahawa peranan dan kedudukan mereka masih sangat penting dan berharga dalam Kerajaan Perpaduan. UMNO juga perlu faham bahawa harapan PH terhadap UMNO ialah untuk tarik sokongan Melayu.

UMNO juga adalah parti Melayu dan tahap sokongan Melayu terhadap UMNO adalah keutamaannya. Orang Melayu sangat menghargai maruah dan identiti bangsa. Begitu juga, UMNO perlu menghargai maruah, identiti dan perjuangan sendiri.

Jadi, tugas utama UMNO ialah untuk meningkatkan undi Melayu. Tugas kedua ialah juga untuk menjaga kepentingan bangsa-bangsa lain.

Perlu faham bahawa penyokong PH yang kebanyakannya orang bukan Melayu serta Melayu bandar masih akan menyokong PH-BN jika berdepan dengan pilihan antara PN-PAS dengan PH-BN. Tetapi ini tidak sama dengan penyokong tradisional UMNO-BN yang merupakan majoriti Melayu. Orang Melayu akan undi PN-PAS jika tidak selesa dengan PH-BN.

Sebab itu, UMNO perlu menjadi perisai utama, barisan hadapan dan pejuang utama bagi orang Melayu dalam Kerajaan Perpaduan. UMNO perlu menjadi check and balance dalam Kerajaan Perpaduan untuk menjaga dan perjuangkan hak orang Melayu.

Jadi, UMNO tidak perlu mengampu kepada mana-mana pihak dalam Kerajaan Perpaduan. Tidak perlu takut untuk melawan DAP-PH biarpun dalam kerajaan bersama, sekiranya perlu.

Know your own value, your own identity and your own priorities.

Jangan buat benda yang orang Melayu tidak selesa. Jangan takut untuk bersuara untuk orang Melayu jika takut PH tidak selesa. UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada sokongan pengundi PH untuk menang kerusi sebab ini akan menyebabkan UMNO tidak berbeza dengan parti Amanah.

UMNO hanya akan dihormati jika maruah, identiti dan perjuangan parti tetap dipelihara sebab kejayaan UMNO adalah diukur dengan tahap sokongan orang Melayu terhadapnya.

YDP Agong titah UMNO-BN untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, tetapi baginda tidak minta UMNO-BN mengampu parti-parti lain.

Bukan semua yang kritik dan tegur merupakan macai PN. Ada juga yang bimbang dan tidak selesa dengan BN apabila terlebih ampu atau terlebih takut kepada pihak lain.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts