ISU PEMBEBASAN NAJIB: RAKYAT PERLU DIYAKINKAN BAHAWA KERAJAAN HARI INI MAMPU MEMBELA MEREKA

106
SHARES
342
VIEWS

Ketika ini terdapat keluh-kesah dalam kalangan rakyat biasa yang menzahirkan kerisauan mereka terhadap pimpinan tertinggi parti UMNO yang dilihat gagal mendesak Perdana Menteri dan kerajaan memberi keadilan kepada bekas Perdana Menteri itu yang kini masih meringkuk di penjara. 

Walaupun pelbagai janji sudah dibuat namun selepas lebih enam bulan memerintah, pihak kerajaan yang sepatutnya boleh membantu Najib mendapat perbicaraan yang adil dilihat masih takut-takut mahu membantunya. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana Najib bukan minta dibebas dan dilepaskan seperti Lim Guan Eng namun hanya mahu beliau dibicarakan secara adil tanpa dicemari oleh “tangan-tangan ghaib”. 

Perdana Menteri dan kerajaan sepatutnya mengutamakan keadilan untuk rakyatnya, apatah lagi Najib merupakan tokoh yang selama ini banyak berjasa kepada negara. Selain inisiatif membanteras rasuah, rakyat juga perlu diyakinkan bahawa kerajaan pada hari ini mampu melindungi mereka. 

Jangan salahkan rakyat jika mereka sendiri berasa risau kerana jika bekas Perdana Menteri seperti Najib tidak mendapat pembelaan sewajarnya, bagaimana mereka mahu yakin bahawa kerajaan hari ini mampu membela mereka? Lebih menakutkan jika penyokong-penyokong dan ahli-ahli UMNO sendiri tidak lagi percaya bahawa pemimpin-pemimpin mereka mampu membela bekas pemimpin yang banyak berjasa kepada negara. 

Selain itu, bukan hanya rakyat malah para pengamal undang-undang dan hakim-hakim sendiri mempersoal isu keadilan kepada Najib ini termasuk bekas Ketua Hakim Negara YAA Tun Abdul Hamid Mohamad serta YAA Hakim Besar Mahkamah Sabah & Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli. Mereka juga menyatakannya sebagai tidak adil, berat sebelah, wujud konflik kepentingan, malah tidak wajar dibicarakan. 

Ini termasuklah isu saksi utama seperti Jho Low dan Nik Faisal yang masih gagal dibawa pulang, seolah-olah wujud perjanjian sulit di belakang yang memastikan ‘imuniti’ mereka dikekalkan.

Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaannya wajar memulihkan keyakinan rakyat kepada sistem kehakiman dan keadilan negara terlebih dahulu sebelum gigih membanteras rasuah – sekaligus menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang di negara ini.

Jika tidak, rakyat terutamanya ahli-ahli UMNO melihat tiada bezanya Kerajaan Perpaduan dengan kerajaan-kerajaan sebelumnya. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts