Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi menggantikan Tan Sri Rais Yatim yang tamat jawatan. Manakala Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed pula dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara.
Wan Junaidi merupakan calon tunggal yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memegang jawatan itu manakala Nur Jazlan pula dicabar oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris yang dicadangkan Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau. Nur Jazlan menang dengan 43 undian berbanding Razali yang hanya memperoleh 11 undi.
Wan Junaidi yang bertekad mahu bersara sepenuhnya sebelum ini bagaimanapun berubah fikiran apabila ditawarkan mengisi jawatan tersebut demi terus berkhidmat kepada rakyat dan negara.
Berbekalkan pengalaman yang ada, antaranya sebagai pegawai kanan polis, peguam, wakil rakyat, menteri dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, beliau yakin dapat menggalas tugas yang diamanahkan kepadanya sebaik mungkin.