NO POLITICIAN NO CORRUPTION – DR. RAMALAN YUNUS

109
SHARES
351
VIEWS

Setelah lebih enam bulan Kerajaan Perpaduan beroperasi jelas kelihatan ia masih tidak mempunyai hala tuju yang jelas terutamanya dalam bidang ekonomi. Naratif untuk melawan korupsi, menangani ketirisan wang negara dan tata kelola yang baik gagal menawan hati rakyat. Malah ia dianggap sebagai retorik politik oleh sebahagian rakyat.

Perdana Menteri kesepuluh (PMX) dilihat gagal untuk menangani isu-isu yang sensitif seperti isu kalimah Allah, Lapangan Terbang Kulim, Pulau Pinang hak negeri Kedah, persempadanan dengan Indonesia dan beberapa isu lain sehingga isu-isu tersebut menjadi perdebatan masyarakat secara berterusan.

Ini sedikit sebanyak telah menghakis keyakinan rakyat terhadap PMX. Paling ketara dan mengesankan rakyat ialah apabila pihak kerajaan gagal mengatasi masalah kenaikan harga barang keperluan.

Lebih mengecewakan rakyat apabila melihat PMX masih bersikap seperti seorang pemimpin pembangkang dan seorang pemimpin parti politik yang begitu ghairah berusaha untuk meraih perhatian rakyat.

Beliau sepatutnya sedar bahawa kini beliau merupakan seorang Perdana Menteri bagi sebuah Kerajaan Tuanku. Sebuah kerajaan yang terbentuk hasil dari titah dan perkenan Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu. Beliau tidak seharusnya bersikap seperti seorang Perdana Menteri dari gabungan pelbagai parti politik hasil dari proses demokrasi.

Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Tuanku berbeza sifatnya dengan kerajaan-kerajaan politik sebelum ini yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi dan diperkenankan oleh baginda dan Majlis Raja-raja Melayu.

Kerajaan Perpaduan adalah merupakan solusi dari Istana Negara kepada konflik politik yang berpanjangan dan untuk menyatu-padukan rakyat dari semua peringkat. Maka beliau seharusnya mempamerkan sikap sebagai seorang bangsawan dan negarawan.

Malangnya itu tidak berlaku. Malah beliau dilihat masih begitu ghairah untuk menjadi seorang politikus dari menjadi seorang bangsawan dan negarawan.

Ini adalah akibat dari kegagalan untuk menghayati sifat, fungsi dan peranan Kerajaan Perpaduan itu sendiri. Kegagalan ini boleh mengakibatkan kesipuan atau keaiban kepada YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu. Rakyat akan melihat bahawa Istana Negara telah memberikan amanah kepada orang yang salah.

Malah Tun Mahathir sendiri secara terbuka telah menyatakan bahawa Raja-raja Melayu tidak boleh diharap untuk melindungi orang Melayu. Ini merupakan tentangan dan cabaran terbesar kepada PMX untuk membela dan memperkasa Institusi Raja-raja Melayu di Malaysia.

Menjaja isu memerangi korupsi, ketirisan wang negara dan tata kelola yang baik ke seluruh negara menunjukkan bahawa beliau gagal melihat masalah sebenar yang sedang menimpa rakyat dan negara.

PMX seharusnya lebih fokus dalam memulihkan semangat rakyat dan ekonomi rakyat dan membina kembali negara berdasarkan kepada konsep Malaysia Madani sebagaimana yang telahpun beliau diisytiharkan.

Perhatian istimewa harus diberikan untuk membina model baru ekonomi yang berasaskan kepada teknologi digital dan teknologi terkini disamping menyediakan persekitaran yang responsif terhadap inisiatif tersebut. Ini sudah pasti melibatkan sistem pendidikan negara dan golongan para pelajar.

Revolusi, reformasi atau transformasi pendidikan perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mempersiapkan golongan pelajar untuk menempuhi zaman All Digital yang berasaskan kepada teknologi. Bukan lagi modal insan. Proses ke arah anjakan paradigma ini perlu dilakukan dengan kadar segera.

Keputusan pada PRN enam negeri yang akan hadir tidak lama lagi pasti akan dijadikan sebagai kayu ukur keyakinan rakyat terhadap kemampuan dan prestasi PMX serta Kerajaan Perpaduan selama ini.

Penumpuan yang berlebihan terhadap isu rasuah, salah guna kuasa, ketirisan wang dan tata kelola yang baik hanya akan memberikan justifikasi bahawa kenyataan “tanpa politikus tidak akan ada korupsi” adalah benar.

Sekiranya pandangan ini melebar secara meluas maka ia akan merubah lanskap politik dan sistem pentadbiran negara yang kini diterajui oleh politikus kepada penggunaan teknologi yang terkini.

Realiti hari ini dengan kehadiran teknologi seperti kecerdasan buatan, robotik dan automasi akan terus mengurangkan penglibatan manusia dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara secara drastik dan holistik.

Golongan muda hari ini sudah mulai melihat bahawa budaya politik kepartian adalah merupakan ancaman yang besar kepada perpaduan, kesatuan dan kemajuan rakyat serta negara. Buktinya tidak kira apa gabungan parti politik sekalipun yang diberikan peluang untuk membentuk kerajaan, tetap gagal untuk menyatukan rakyat dan memajukan negara.

Kalau tidak masakan hutang negara kini sudah berjumlah RM1.5 trillion dan mengalami bajet yang defisit selama 25 tahun. Bukankah ini merupakan bukti nyata bahawa para politikus dan parti-parti politik telah gagal mentadbir negara?

Dengan pandangan baru golongan muda terhadap budaya politik kepartian, adakah ini bermakna kita akan melihat Dewan Rakyat pada PRU-16 nanti akan dikuasai oleh golongan non partisan politic?

Biarpun PRU-16 masih jauh namun bibit-bibit ke arah non partisan politic itu sudah kelihatan dalam pemikiran golongan muda hari ini.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

22 Jun 2023

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts