APA YANG BOLEH DIHARAP DARI PRN 6 NEGERI? – DR. RAMALAN YUNUS

359
SHARES
2.1k
VIEWS

Seorang lagi tokoh popular DAP iaitu Tony Pua telah menyerang UMNO dengan melabel parti itu sebagai korup. Serangan yang mempamerkan mental state sang pelaku yang bercelaru dan berserabut kerana tidak mampu berfikir dengan logik yang betul.

Ini kerana kalau dianalisa psikologi di sebalik kenyataan itu, beliau ingin memberitahu bahawa DAP adalah sebuah parti politik yang bersih dari korupsi. Namun kenyataan itu bertentangan dengan fakta di lapangan yang diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia.

Faktanya DAP juga tidak terlepas dari masalah korupsi. Seluruh rakyat Malaysia sedar bahawa tidak ada parti-parti politik yang berkuasa atau pernah berkuasa bersih dari masalah korupsi.

Sebab itu muncul istilah yang bersifat imaginatif iaitu “No politician no corruption” yang bermaksud kalau tidak ada politikus tidak akan ada korupsi di tengah masyarakat.

Masyarakat khususnya golongan muda sebenarnya sudah muak dengan konflik politik yang berpanjangan ini. Natijahnya, kita telah mendapat sebuah PRU yang paling buruk kualitinya pada PRU-15 yang lalu.

Tidak ada satu gabungan parti-parti politikpun yang mampu meraih majoriti mudah dalam PRU itu. Mungkin itulah hasil dari Wawasan 2020 yang telah dilancarkan pada tahun 1991 oleh Tun Mahathir yang menjadi PM-4 pada masa itu.

Ia hanya mampu membina gedung-gedung yang tinggi tetapi intelektual dan moral para elit politik dan masyarakatnya menyembah bumi.

Pada PRN akan datang ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal sekiranya ada parti yang mendakwa parti mereka bebas dari korupsi dan mampu memimpin negara ini keluar dari kemelut politik dan ekonomi.

Sebab itu pada awal Plandemik Covid-19 iaitu pada tahun 2020 saya telah mencadangkan agar Parlimen digantung, tubuhkan pentadbiran darurat dan melantik YBM Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ini sebagai solusi untuk membawa keluar negara ini dari kemelut politik dan ekonomi.

Namun idea tersebut telah di’hijack’ oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang tidak pernah disahkan oleh Parlimen Malaysia.

Lalu apa sebenarnya yang ingin kita harapkan dari PRN yang akan datang ini? Nasihat saya, janganlah berharap yang kita akan memperolehi hasil yang berkualiti daripada PRN kali ini.

Apa yang boleh kita harapkan dari ahli-ahli politik kita yang memiliki kualiti intelektual dan moral yang rendah?

Kalau Titah YDP Agongpun tidak mampu mereka taati dan sempurnakan apatah lagi kalau sekadar permintaan dari rakyat jelata. Berhentilah berharap…

Sebagai sebuah negara bangsa kita tidak pernah berusaha untuk membina intelektual dan moral politik yang berkualiti tinggi.

Mana mungkin kita mampu melahirkan ahli politik yang mempunyai intelektual yang tinggi kalau perbicaraan politik disekat di universiti? Bukankah universiti adalah medan yang paling sesuai untuk menguji daya dan tahap intelektual para elit politik dan masyarakat?

Mana mungkin kita memiliki ahli-ahli politik yang mempunyai kualiti moral yang tinggi kalau pembicaraan politik di masjid dilarang? Bukankah masjid adalah tempat yang paling sesuai untuk membicarakan dan menguji soal moral para elit politik dan masyarakat?

Logiknya, kalau universiti dan masjid masih dilarang untuk membicarakan soal politik lalu di mana lagi medan yang paling sesuai untuk kita menguji tahap intelektual dan moral ahli-ahli politik dan masyarakat?

Maka adakah tidak wajar lagi kalau hari ini kita dipimpin oleh seorang bekas banduan kes liwat dan timbalannya yang sedang dibicarakan di mahkamah atas dakwaan korupsi?

Bukankah itu adalah refleksi sosial terhadap kecelaruan dan kebebalan yang sedang meluas di tengah-tengah masyarakat kita? Bukankah realiti itu juga adalah merupakan penanda aras kepada tahap kualiti intelektual dan moral kita sebagai sebuah negara bangsa?

Konsep Bina Malaysia Madani adalah merupakan konsep pembinaan sebuah tamadun terbaik sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW 1400 tahun yang lalu.

Konsep Madani yang dibawa oleh Rasulullah SAW ini memberikan penumpuan kepada pembangunan intelektual dan moral. Namun konsep Madani itu pada hari ini sedang berada di tangan orang yang salah.

Dikhuatiri ia juga akan berakhir seperti Wawasan 2020 yang hanya mampu mendirikan gedung-gedung yang tinggi menjulang ke awan manakala manusianya pula memiliki tahap intelektual dan moral yang rendah menyembah bumi.

Mungkin Proklamasi Darurat sekali lagi dan sebuah jawatankuasa seperti MAGERAN merupakan solusi yang terbaik untuk segala permasalahan yang sedang kita hadapi pada hari ini.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts