Saya senang dengan Program Temu Anwar di mana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pergi bertemu dengan para pelajar di beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Tradisi dan budaya perbincangan secara terbuka seperti itu harus dibina dan dikembangkan oleh pihak kerajaan. Ini kerana bagi saya universiti seharusnya menjadi tempat untuk orang berfikir dan menguji pemikiran mereka.
Orang yang berfikir harus diganggu pemikiran mereka. Mereka harus bersedia agar pemikiran mereka dikritik dan diuji dengan pemikiran- pemikiran yang kontra dari pihak lain. Kalau mereka tidak mahu pemikiran mereka diganggu itu bermakna mereka bukan sedang berfikir tetapi sedang berdoa.
Hanya orang yang sedang berdoa sahaja yang tidak mahu diganggu. Ini kerana mereka perlu berseorangan dan perlu menumpukan sepenuh perhatiannya kepada apa yang sedang mereka didoakan.
Atas dasar itu budaya berdebat, berbahas dan berhujah di universiti- universiti wajar dihidupkan kembali. Speaker Corner perlu dihidupkan. Para pelajar perlu diberi kebebasan untuk memberi pendapat dan mengkritik dasar-dasar kerajaan.
Ini kerana segala dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan akan mempengaruhi kehidupan dan masa depan mereka. Maka mereka wajar diberikan peluang untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.
Apatah lagi apabila remaja yang berusia 18 tahun ke atas sudah dibenarkan untuk mengundi. Jadi sebenarnya budaya berfikir itu sudah wajar diasuh di peringkat sekolah menengah lagi.
Larangan menyekat para pelajar dari menyuarakan pandangan mereka dan mengkritik dasar-dasar kerajaan hanya akan menyebabkan mereka tidak mampu untuk berfikir.
Inilah yang telah berlaku selama ini. Universiti tidak menjadi tempat untuk orang yang mahu berfikir tetapi hanya menjadi tempat untuk orang menghafal buku. Akhirnya universiti hanya menjadi kilang yang memproduksi golongan masyarakat yang tidak berkualiti dari segi intelektual.
Jadi tidak hairan kalau Malaysia telah menjadi juara korupsi dunia. Mereka yang korup adalah mereka yang memiliki kualiti intelektual dan moral yang rendah. Ini membuktikan bahawa Sistem Pendidikan Negara telah gagal untuk melahirkan golongan masyarakat yang berkualiti tinggi.
Maka saya kira wajar inisiatif yang telah dirintis oleh PMX diteruskan dan dikembangkan sehingga menjadi satu tradisi dan budaya di universiti-universiti.
Universiti harus menjadi tempat orang berfikir. Bukan tempat orang menghafal buku. Ini bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai tahap intelektual yang berkualiti tinggi.
Zaman All Digital adalah zaman yang lebih mencabar. Zaman yang menuntut masyarakat untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif demi kelangsungan hidup. Di zaman All Digital ini peluang pekerjaan akan semakin pupus kerana diambil alih oleh teknologi.
Masyarakat harus lebih kreatif dan inovatif untuk mencari sumber pendapatan dan menjana pendapatan. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya masyarakat sudah tidak lagi mampu berfikir?
Apa yang berlaku pada PRU-14 dan PRU-15 merupakan bukti kukuh bahawa rakyat Malaysia tidak mampu berfikir. Mereka begitu mudah dipengaruhi oleh permainan persepsi dan sentimen.
Pada PRU-14, mana mungkin kita akan maju ke hadapan apabila orang yang dipilih untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia adalah seorang tua yang berumur 93 tahun.
Manakala pada PRU-15 pula, mana mungkin kita keluar dari kemelut politik dan ekonomi apabila tidak ada satu gabungan parti-parti politikpun yang berjaya memperoleh majoriti dua pertiga untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang kuat.
Jangankan memperoleh majoriti dua pertiga, majoriti mudah sahajapun tidak mampu diperolehi. Jadi jangan hairan kalau negara kita masih lagi dibelenggu dengan kemelut politik dan ekonomi yang buruk.
Baik pemimpin mahupun rakyat, kedua-dua belah pihak jelas tidak mampu berfikir. Persoalannya sekarang apa pula yang akan berlaku pada PRU-16 akan datang?
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas