‘DUEL’ ANTARA PMX DAN MB KEDAH – DR. RAMALAN YUNUS 

365
SHARES
2.1k
VIEWS

Sejak awal tahun 2020 saya sering mengingatkan semua pihak bahawa kedatangan Plandemik Covid-19 adalah merupakan pertanda bahawa dunia sedang direset oleh para elit global. Tujuannya ialah untuk mereset sistem monetari global dan mengimplementasikan mawatang digital.

Dua subjek itu secara tidak langsung akan mengubah sistem dan gaya hidup masyarakat di seluruh dunia. Perubahan ini sedang berlaku di seluruh dunia sekarang secara drastik dan radikal.

Sebagai umat Islam sekiranya kita tidak sedar dengan apa yang sedang berlaku maka kita akan terus dipimpin dan dituntun untuk mengikuti kehendak para elit global seperti lembu yang telah dicucuk hidungnya.

Atas kesedaran itu saya mempromosikan konsep islah dan tajdid atau restorasi dan transformasi untuk seluruh umat Islam. Khususnya yang berada di Kepulauan Melayu dan Nusantara.

Bagi mengisi konsep islah dan restorasi maka proses untuk meletakkan kembali yang hak pada tempatnya harus dimulai dengan kadar segera. Ini termasuk meluruskan kembali sejarah negara ini. Ini kerana hari ini sejarah ditulis dan dipelajari dari kaca mata penjajah.

Mana mungkin kita dapat membangun satu tamadun baru tanpa mengenali diri kita dan tanpa memiliki jati diri yang kuat. Kita tidak boleh terus membiarkan generasi sekarang dan akan datang terus tertipu dengan sejarah dari versi penjajah.

Perjuangan untuk meletakkan kembali yang hak pada tempatnya adalah merupakan kewajipan dalam kehidupan beragama dan bernegara. Atas dasar itu saya menyokong penuh perjuangan Menteri Besar Kedah untuk menuntut kembali Pulau Pinang. Perjuangan ini harus disokong oleh seluruh rakyat Malaysia.

Ini adalah merupakan keputusan dan tindakan yang tepat pada masanya yang telah diambil oleh YAB Datuk Seri Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah.

Kewajipan yang telah gagal dilaksanakan oleh sebelas orang Menteri Besar Kedah sebelumnya dan dua orang anak negeri Kedah yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia sejak Proklamasi Persekutuan tahun 1957.

Manipulasi British dan kuncu-kuncunya ke atas status Pulau Pinang tidak mungkin dapat menghapuskan fakta sejarah bahawa Pulau Pinang adalah milik Kesultanan Kedah.

Isu Pulau Pinang milik Kedah ini akan membuka mata banyak pihak untuk mengenali lebih dekat sejarah gilang-gemilang Negara Kedah Tua yang telah diasaskan oleh Raja Merong Mahawangsa dan berpusat di Gunung Jerai.

Perbincangan mengenai sejarah Kedah Tua pasti akan melebar dan terus melebar sehingga akan berupaya menyingkap kembali sejarah sebenar Kepulauan Melayu dan Nusantara ini.

Sejarah Kedah Tua adalah sejarah kegemilangan Melayu dan Islam bukan sahaja di Kepulauan Melayu dan Nusantara bahkan telah menjalar sehingga ke Pulau Hawaii. Sejarah kegemilangan ini yang harus digali kembali oleh rakyat Malaysia.

Kewujudan Kedah Tua dapat dibuktikan melalui naskah Undang-undang Kedah atau Qanun Kedah yang menjadi Perlembagaan kepada Negara Kedah Tua yang telah ditulis pada tahun 837 Masehi. Ini bersamaan dengan tahun 222 Hijrah.

Kesedaran dan semangat juang yang tinggi yang telah ditunjukkan oleh Menteri Besar Kedah itu telah membuatkan beliau semakin popular bukan sahaja di Kedah malah di seluruh Malaysia.

Kesilapan Perdana Menteri kesepuluh (PMX) dalam menyantuni isu Kalimah Allah, Lapangan Terbang Kulim dan isu Pulau Pinang milik Kedah telah membuatkan beliau menjadi lebih popular dari PMX.

Datuk Seri Sanusi muncul tepat pada waktunya di saat orang Melayu sedang tercari-cari seorang hero baru sebagai tempat untuk mereka menyandarkan harapan dalam keadaan negara sedang mengalami kemelut politik dan ekonomi. Beliau kini dilihat sebagai hero Melayu yang baru di Kedah dan mungkin tidak lama lagi di seluruh Malaysia.

Beliau adalah fenomena baru dalam politik Malaysia. Beliau kini dilihat lebih bijak berpolitik berbanding PMX yang kini lebih dilihat hanya ‘syok sendiri’ sahaja oleh rakyat Malaysia.

Fenomena Sanusi ini sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana oleh PMX sudah pasti akan mengancam hayat politiknya dan Kerajaan Perpaduan itu sendiri yang setakat ini dilihat gagal oleh rakyat Malaysia.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts