YAB PERDANA MENTERI MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT KHAS KABINET MENGENAI ANTIRASUAH

78
SHARES
250
VIEWS

YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 petang semalam.

Mesyuarat bersetuju supaya pengisytiharan harta oleh Anggota Pentadbiran dikuatkuasakan semula setelah format baharu yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ini ditambah baik.

Mesyuarat juga memberi fokus kepada syor penambahbaikan tata kelola yang lebih holistik. Langkah ini penting untuk mempertingkat kebertanggungjawaban, ketelusan, kecekapan dan keberkesanan sistem pentadbiran Kerajaan.

Justeru, ekosistem tata kelola baik negara akan diperkukuh melalui Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) sebagai panduan sektor awam berhubung pelaksanaan prinsip-prinsip tadbir urus baik.

Indeks Governans Malaysia akan dijadikan mekanisme pengukuran tahap tata kelola baik di negara ini, manakala kajian pengwujudan Akta Tata Kelola akan dilaksanakan bagi memastikan amalan tata kelola baik yang berkesan.

Mesyuarat turut bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan susulan yang segera bermula dengan LKAN tahun 2022 dengan format baharu lebih berstruktur supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan.

Turut dibincangkan adalah terkait status pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 serta hala tuju pemerkasaan inisiatif-inisiatif antirasuah selaras dengan Perkara 5 dalam United Nations Convention Against Corruption (UNCAC).

Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan kesinambungan NACP dengan satu strategi baharu di peringkat nasional yang dikenali sebagai Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (National Anti- Corruption Strategies, NACS).

Kerajaan memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran Kerajaan.

Sehubungan itu, satu Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalahguna bagi tujuan kepentingan peribadi.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts